Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Tragedi bas: Suasana amat sunyi, gelap, tiada suara mangsa
  • SEMASA

Tragedi bas: Suasana amat sunyi, gelap, tiada suara mangsa

Utusan Sarawak 2 days ago
FOTO Facebook APM Hulu Perak.

IPOH: Nahas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) Gerik yang meragut 15 nyawa awal pagi semalam disifatkan sebagai detik paling hitam yang pernah dihadapi pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Muhammad Yusuf Nuruddin sepanjang 18 tahun berkhidmat dalam pasukan itu.

Pegawai APM di Hulu Perak ini pada awalnya menyangkakan tragedi membabitkan sebuah bas sewa khas dan Perodua Alza berhampiran Tasik Banding itu hanyalah kemalangan biasa dan tidak melibatkan kehilangan nyawa. 

Namun, saat beliau dan tiga anggota APM Hulu Perak, Mohd Zamri Taib, 47, Muhammad Isma Aliff Mohd Asri, 24, dan Muhammad Mainun Azim Azman, 28, diberitahu bahawa ia bukan nahas biasa, tetapi melibatkan jumlah kematian besar, iaitu 15 mangsa, mereka terus tergamam seketika.

“Insiden melibatkan bas ini seingat saya ada tiga kali, ada bas yang terbalik dan terbabas, namun tiada yang maut, tetapi kali ini berbeza, memang sukar saya nak lupakan. 

“Saya tidak sempat melihat keadaan mangsa yang maut kerana ketika itu fokus mahu berikan bantuan awal sahaja. Mangsa yang maut kita serahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya yang masih lagi terkesan dengan kejadian terbabit, kepada Bernama.

Menceritakan lebih lanjut, Muhammad Yusuf, 38, berkata pasukan APM tiba di lokasi kemalangan tragis membabitkan bas persiaran yang membawa 42 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu satu jam kemudian sebaik mendapat panggilan kecemasan. 

Sejurus tiba, beliau berkata pasukan JBPM dan pihak KKM sudah berada di lokasi untuk tugas menyelamat dengan berbekalkan lampu kenderaan memandangkan jalan di situ begitu gelap-gelita dan daripada kesamaran malam, dapat dilihat beberapa mangsa yang cedera duduk di bahu jalan.

“Pada masa itu, suasana amat sunyi dan gelap, tiada suara daripada mangsa. Hanya kedengaran suara pasukan penyelamat memberi arahan, mungkin mangsa masih trauma ketika itu,” katanya.

Semasa dalam tugas menyelamat, beliau bersama pasukannya berusaha sepantas mungkin untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa termasuklah mereka yang mengalami kecederaan parah pada mana-mana anggota badan, patah tangan mahupun mengalami pendarahan dalaman. 

Muhammad Yusuf berkata beliau ada ternampak seorang mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan hasil pemeriksaan awal mendapati, tiada kepatahan fizikal berlaku kepadanya sebelum pasukan penyelamat memberikan rawatan awal dan membawanya ke hospital.

“Kemudian, kami bawa seorang lagi mangsa yang mengalami patah tangan untuk dibawa ke Hospital Gerik manakala ambulans daripada KKM dan JBPM turut membawa mangsa lain. 

“Dalam perjalanan ke hospital, seorang daripada mangsa mengalami pendarahan dalaman dan memuntahkan darah sebanyak dua kali. Kami sedut darahnya agar dia tidak lemas supaya lumuran darah itu tidak menghalangnya untuk bernafas,” katanya. 

Dalam kejadian awal pagi Isnin, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di KM53 JRTB.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Saya tercampak keluar, mayat menimpa saya – mangsa
Next: Nahas UPSI: KPT terima syor elak perjalanan malam

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.