KUCHING: RJ Group of Companies telah memperkenalkan d’Isabelle, sebuah pembangunan kediaman yang bukan sekadar sebuah bangunan tinggi biasa, tetapi sebuah ‘rumah sepanjang hayat’ yang pertama di Sarawak dengan pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI).
Mewakili konsep baharu ‘rumah terpisah di langit’, bangunan 18 tingkat ini direka dengan teliti, menggabungkan kelestarian dan reka bentuk yang memberi ruang kepada penghuni untuk berkembang sepanjang perjalanan hidup mereka.
d’Isabelle bukan hanya sekadar tempat tinggal, tetapi sebuah ruang yang mampu bertahan dan berkembang bersama pemiliknya, menyokong mereka dari hari ke hari, melalui setiap fasa kehidupan.
Pendekatan yang berfokus kepada kecekapan tenaga, penggunaan pencahayaan semula jadi, pengudaraan yang baik, serta pemasangan peralatan yang menjimatkan air menjadikan d’Isabelle sebuah rumah yang mengutamakan kelestarian, sambil memberikan keselesaan sepanjang hayat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif RJ Realty, Datuk Lily Lim, pembangunan ini adalah komitmen syarikat untuk menyediakan rumah yang bukan sahaja memenuhi keperluan hari ini, tetapi juga menjadi legasi bagi generasi akan datang.
“d’Isabelle adalah rumah yang mampu bertahan dan menyesuaikan diri dengan perubahan kehidupan penghuninya. Kami percaya dengan teknologi hijau yang diterapkan, kami melindungi alam sekitar dan menyediakan ruang kediaman yang sesuai untuk keluarga yang berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Projek d’Isabelle oleh RJ Group of Companies di Hotel Sheraton, semalam.
Dalam usaha mewujudkan sebuah rumah sepanjang hayat, RJ Group of Companies juga menanggung kos tambahan hampir RM4 juta untuk memastikan bangunan ini memenuhi standard kelestarian yang tinggi.
Pengarah Kreatif RJ Realty, Ryonna Chuo menjelaskan bahawa kos ini adalah pelaburan untuk masa depan yang lebih hijau dan lestari, dengan penjimatan tenaga, air dan bahan sumber yang lebih efisien.
“d’Isabelle bukan hanya sebuah tempat untuk tinggal, ia adalah sebuah rumah yang akan berkembang dan berfungsi sesuai dengan keperluan penghuni sepanjang hidup mereka, memberikan mereka ruang untuk bertumbuh, berkembang, dan akhirnya, meninggalkan legasi untuk generasi masa depan,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Pemilik Hotel Sheraton Kuching Tan Sri Yee Ming Seng, Pengarah Eksekutif Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) Tan Sri Wilson Baya Dandot, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Ir Lo Khere Chiang, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Datuk Peter Minos serta tetamu kehormat yang lain.
Oleh AMANDA L.