KUCHING: Pelancaran d’Isabelle, kediaman bertingkat tinggi pertama di Sarawak yang menerima pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI), menjadi langkah signifikan dalam memperkukuhkan pembangunan mampan di negeri ini.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, projek ini menandakan era baharu perumahan yang mengutamakan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti.
“Indeks Bangunan Hijau (GBI) adalah elemen penting yang diinginkan oleh Premier Sarawak. Ini menunjukkan komitmen negeri terhadap pembangunan yang mesra alam,” kata Dr Sim ketika melancarkan projek d’Isabelle oleh RJ Group of Companies di Sheraton Hotel Kuching, hari ini.
Dr Sim memuji d’Isabelle atas inovasi teknologinya yang mengutamakan ciri hijau seperti kecekapan tenaga, sistem penuaian air hujan, dan reka bentuk bangunan yang dioptimumkan.
“Inovasi ini bukan sahaja memenuhi keperluan gaya hidup moden tetapi juga menyumbang kepada usaha melindungi alam sekitar,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa memiliki rumah seperti d’Isabelle bukan sekadar menyediakan tempat berteduh, tetapi juga melibatkan pelaburan jangka panjang dalam membina komuniti yang harmoni dan bermakna.
Dalam ucapannya, cabaran dinamik perumahan di Sarawak turut ditengahkan. Berdasarkan bancian 2020, negeri ini memiliki 779,000 unit rumah, sedangkan bilangan keluarga hanyalah 618,000.
“Walaupun terdapat lebihan rumah sebanyak 160,000 unit, isu utama adalah pengagihan yang tidak seimbang, dengan ada individu memiliki lebih daripada satu rumah,” jelasnya.
Untuk menangani cabaran ini, Sarawak telah memperkenalkan inisiatif seperti Skim Bantuan Deposit Rumah Sarawak (HDAS), yang menawarkan bantuan RM10,000 kepada pembeli rumah di bawah harga RM300,000.
Pelancaran d’Isabelle, yang menggabungkan teknologi hijau dan konsep kehidupan berkomuniti, mencerminkan usaha Sarawak untuk mengimbangi pembangunan moden dengan matlamat kelestarian.
Projek ini bukan sahaja menjadi penanda aras baharu dalam pembangunan perumahan, tetapi juga membawa visi pembangunan mampan Sarawak selangkah lebih dekat kepada realiti.
Oleh Amanda L.