SANTAPAN…Kuih urum/dinuh yang sudah siap dan sesuai sangat men jadi hidangan sarapan atau minum petang.
KUCHING: Pada zaman dahulu tepung beras dan tepung pulut adalah bahan asas yang perlu ada di dapur untuk membuat kuih-muih bahkan ada juga menganggap ia sebagai bahan utama dalam penghasilan kuih tradisional.
Bagi masyarakat orang ulu yang terdiri daripada kaum Kayan, Kenyah, Kelabit dan lain-lain lagi amat gemar menggunakan kedua-dua bahan utama ini dalam penghasilan kuih tradisional mereka.
Salah satu kuih tradisi yang biasanya menggunakan bahan ini dikenali sebagai dinuh bagi masyarakat kayan.
Bagi kaum yang berlainan, sebutan bagi kuih ini juga turut berlainan. Misalnya bagi masyarakat Kelabit ia dipanggil sebagai urum manakala ia juga turut dikenali sebagai kuih getas ataupun kuih tepung bunga.
Kuih ini kelihatan sangat sederhana serta bahan-bahan yang diperlukan juga tidak banyak. Namun begitu, proses pembuatan serta menggorengnya agak rumit.
Untuk membuat dinuh/urum bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti tepung pulut, tepung beras, gula, garam dan air secukupnya.
Prosesnya adalah semua bahan kering digaul terlebih dahulu kemudian air dimasukan ke dalam adunan dan digaul sehingga menjadi doh.
Untuk proses menggoreng urum/dinuh ini, ia harus dijaga supaya tidak hangus, tekstur urum/dinuh yang lembut ini membuatkan kuih ini cepat hangus sekiranya suhu api tidak dijaga dan ia juga perlu goreng sehingga keemasan.
Bagi penulis sendiri, kuih tradisi ini melukiskan pelbagai memori indah sewaktu zaman kanak-kanak dulu, kuih ini sentiasa menjadi hidangan sarapan atau minum petang disebabkan bahan-bahan yang digunakan ringkas dan mudah didapati.
Jika dilihat kuih ini juga turut dijadikan hidangan sampingan pada majlis keramaian seperti majlis perkahwinan.
Oleh JEAKQLEYN YACHO