Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Ding gesa penduduk pilih wakil rakyat benar-benar berkhidmat
  • Tengah
  • WILAYAH

Ding gesa penduduk pilih wakil rakyat benar-benar berkhidmat

Utusan Sarawak 12 hours ago
ERATKAN PERPADUAN…Ding bersama tetamu lain memotong kek pada majlis makan malam anjuran Komuniti MADANI Datuk Robert Lau Hoi Chiew di Kedai Kopi Poi Ying, kawasan Lebaan, malam tadi. Turut kelihatan ialah Kevin (empat kiri).

SIBU: Penduduk di kawasan tebing barat Sibu disaran memilih wakil rakyat yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat bagi memastikan pembangunan dan kesejahteraan kawasan itu terus diperkasakan pada masa depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, selain pembangunan infrastruktur asas, aspek kualiti hidup rakyat juga perlu diberi perhatian kerana hanya pembangunan menyeluruh mampu menjamin masa depan yang lebih baik.

Menurutnya, kawasan tebing barat Sibu termasuk Lebaan dan Bukit Lan memerlukan wakil rakyat yang mudah didekati serta sanggup turun padang bertemu rakyat.”Kita harus memilih wakil rakyat yang benar-benar bekerja untuk rakyat dan bukannya hanya berada di pejabat serta sukar ditemui,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam anjuran Komuniti MADANI Datuk Robert Lau Hoi Chiew di Kedai Kopi Poi Ying, kawasan Lebaan, malam tadi.

Ding berkata, beberapa kawasan di tebing barat Sibu kini berdepan masalah banjir disebabkan faktor tanah dan geografi, justeru satu pelan induk menyeluruh perlu diwujudkan bagi menangani isu tersebut dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Saya berharap wakil rakyat yang dipilih nanti dapat melaksanakan pelan tebatan banjir yang lebih lengkap supaya tanah penduduk tidak terus ditenggelami air sehingga menjejaskan tanaman,” ujarnya lagi.

Katanya, kualiti hidup penduduk di kawasan itu juga masih perlu dipertingkatkan termasuk dari segi kemudahan sekolah, perpustakaan dan taman rekreasi.

“Pembinaan taman rekreasi di kawasan kampung mampu menggalakkan gaya hidup sihat apabila penduduk dapat membawa keluarga bersiar-siar dan bersenam,” jelasnya.

Beliau turut memuji kepimpinan Datuk Robert Lau yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin tegas dan berani dalam melaksanakan sesuatu keputusan demi kepentingan rakyat.

“Semangat kepimpinan sedemikian perlu diteruskan termasuk dalam kalangan pemimpin muda yang berani memikul tanggungjawab dan bekerja bersungguh-sungguh untuk masyarakat,” katanya.

Ding turut menyifatkan Kevin Lau Kor Jie sebagai pemimpin muda yang cemerlang kerana aktif melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat termasuk membina longkang dan jambatan di kawasan setempat.

Menurutnya, cadangan pembinaan jambatan merentasi sungai yang menghubungkan tebing barat terus ke bandar Sibu yang dikemukakan (Kevin Lau Kor Jie) sebelum ini turut mendapat kelulusan segera daripada Premier Sarawak.

“Projek ini akan memendekkan jarak perjalanan antara bandar Sibu dan kawasan tebing barat serta membantu mempercepat pembangunan kawasan tersebut,” katanya lagi.

Pada majlis sama, Ding turut mengumumkan peruntukan RM3,000 kepada SJKC Boi Ing serta RM2,000 bagi perbelanjaan operasi aktiviti Komuniti MADANI.

Oleh Akun Giman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Pertandingan mewarna, warnai sambutan Hari Ibu di Bintulu
Next: APM Betong pantau kawasan banjir akibat hujan lebat berterusan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.