
SEBELUM kedatangan Brooke ke Sarawak lagi, orang Melayu telah mempunyai satu sifat kepemimpinan tersendiri.
Apabila kerajaan Brooke dibentuk, kepimpinan Melayu ini telah diambil untuk melancarkan pentadbiran negeri Sarawak.
Pemimpin Melayu ini dihormati oleh pemerintah Brooke dan pegawai Barat.
Antara nama pemimpin Melayu pada awal kedatangan James Brooke ke Sarawak telah menunjukkan kepemimpinan yang hebat seperti Datu Patinggi Ali, Datu Bandar Rancha dan Datu Temenggung Mersal.
Keturunan tokoh-tokoh awal ini kemudiannya mewarnai pimpinan Melayu Sarawak seperti Datu Patinggi Abdul Gapur, Muhammad Lana, Bua Hassan (Bolhassan), Abdul Karim, Datu Bandar Abang Kassim, Datu Patinggi Abang Abdillah, Abang Pata, Datu Temenggung Muhammad Hassan, Datu Hakim Abang Moasali dan Datu Bandar Abang Mustapha.
Nama-nama disebut ini merupakan tokoh ternama pada era Brooke. Mereka sering kali menjadi rujukan untuk mendapat nasihat dan pandangan oleh kerajaan Brooke mahupun pegawai Brooke.
Pada masa sama, ketokohan kepimpinan Melayu Sarawak ini tidak terhad kepada tokoh-tokoh yang dinyatakan.
Ini kerana orang Melayu Sarawak mempunyai ramai pemimpin yang mempunyai ciri-ciri kepemimpinan yang dinamik tetapi tidak dikenali pada hari ini.
PENTADBIRAN
Salah seorang pemimpin Melayu yang mempunyai kepintaran dalam pentadbiran adalah Abang Fadil Abang Muhammad Kassim.
Beliau adalah adik ketiga bagi Abang Abdillah dan dilahirkan sekitar 1879.
Pada awalnya beliau telah berkhidmat di Jabatan Tanah dan Ukur selama lima tahun.
Pada 1909 beliau telah berkhidmat di kuari di Sejingkat.
Pada masa sama, beliau juga dilantik sebagai Ketua Kampung No.3 di Kuching dan memegang jawatan ini sehingga 1919.
Pada 1924, Abang Fadil diberi amanah oleh kerajaan Brooke untuk menjadi wakil Sarawak di Singapura untuk mengurus orang Islam di Sarawak mengerjakan haji.
Tidak lama selepas itu pula beliau diberi amanah menjadi ahli jawatankuasa Masjid Besar Sarawak.
Antara tugasnya adalah menjadi pemantau kepada filem-filem di pawagam Sarawak.
Beliau meninggal dunia pada 1937.
KEPELBAGAIAN
Seorang lagi adik kepada Abang Abdillah yang telah memberi khidmat dalam kerajaan Sarawak di bawah Brooke adalah Abang Anis Abang Muhammad Kassim.
Beliau yang dilahirkan pada 1887, diberi kepercayaan sebagai jurutulis di Pejabat Pos Sarawak.
Beliau memegang jawatan tersebut selama 18 tahun sebelum dipindahkan ke Pejabat Pos di Sibu.
Jawatan yang beliau pegang termasuk oleh Abang Fadil ini, menunjukkan masyarakat Melayu cepat menyesuaikan diri dengan perkembangan pemodenan peringkat dunia yang begitu cepat mempengaruhi pentadbiran di Sarawak.
Selepas menemani ayahnya ke Makkah, beliau kemudiannya mempunyai kecenderungan dalam bidang pendidikan.
Ini boleh dikaitkan dengan pekerjaan awalnya dalam bidang penulisan di pejabat pos.
Beliau pada awalnya menjadi guru sekolah di Limbang. Selepas itu berkhidmat di Government Lay School di Kuching.
Beliau kemudiannya berhenti sebagai guru kerana mengalami penyakit lumpuh sebelah badan.
Beliau meninggal dunia pada tahun sama dengan abangnya iaitu Abang Fadil.
Pemimpin Melayu ini juga bukan setakat menjadi pentadbir tetapi juga pengubal undang-undang masyarakat Melayu seperti Datu Temenggung Muhammad Ali.
Beliau yang lahir pada 1851 telah memberi khidmat kepada kerajaan selama 35 tahun.
Beliau seorang yang pakar dalam undang-undang masyarakat tempatan di Sarawak ketika itu.
Beliau meninggal dunia pada 1926.
Kepimpinan orang Melayu meluas juga sehingga ke bidang kawalan penyakit.
Salah seorang pemimpin Melayu yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini ialah Tuanku Mansor Tuanku Mahsen yang dilahirkan pada 1845.
Beliau telah ditugaskan oleh Raja James Brooke untuk mengawasi merebaknya penyakit cacar air di Seniawan.
Beliau juga orang yang berperanan penting dalam mengubat Raja James Brooke apabila raja tersebut mengalami penyakit cacar air yang hampir meragut nyawa raja tersebut.
Sumbangan besar ini menyebabkannya dilantik sebagai pegawai vaksinasi kerajaan.
Selepas itu beliau berhijrah ke Pontianak.
Apabila beliau pulang semula ke Sarawak, beliau diberi kepercayaan sebagai ketua kampung di Matang.
Pada masa sama beliau juga diberi kepercayaansemula sebagai pegawai vaksinasi kerajaan.
PEMIMPIN KESEDARAN
Salah seorang lagi tokoh yang pernah menjadi pengerak kesedaran masyarakat Melayu Sarawak adalah Haji Daud.
Beliau seorang pemimpin muda dan lahir sekitar 1897.
Beliau banyak mengikuti pendidikan agama daripada tokoh-tokoh pemimpin Islam seperti Datu Iman Abang Morsidi.
Pada era perkembangan kesedaran tentang perlunya orang Melayu sedar akan nasib mereka di Sarawak, beliau merupakan antara tokoh berganding bahu dengan Rakawi Yusuf dan beberapa lagi tokoh lain menerbitkan Fajar Sarawak.
Beliau juga mengalas tugas menjadi editor bagi akhbar tersebut.
Selepas itu beliau bertugas sebagai salah seorang tenaga pengajar di Madarasah Morshidiah yang terletak di Masjid India.
Beliau juga menjadi imam bagi Masjid India.
Beliau juga diberi kepercayaan untuk menjadi Ketua Kampung Patingan.
Beliau meninggal dunia pada usia 30an pada 1933.
Beliau meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.
LUAR KUCHING
Kepimpinan Melayu Sarawak bukan sahaja berlegar di sekitar Sungai Sarawak.
Malah di seluruh pelusuk Sarawak terdapat pemimpin Melayu yang berwibawa dan diberi kepercayaan oleh kerajaan Brooke.
Di Binatang (Bintangor) misalnya Abang Metair Abang Abdulrahman merupakan seorang lagi pemimpin Melayu yang menunjukkan kehebatan.
Beliau pernah diberi kepercayaan oleh kerajaan Brooke dalam menjalankan beberapa tugas penting.
Semasa usia mudanya beliau terlibat dalam Kempen Ekspedisi Gat di Sarawak.
Pada 1899 atas jasanya, beliau diamanahkan sebagai Ketua Kampung di Binatang.
Beliau juga dilantik sebagai Pegawai Bumiputera dan memegang jawatan tersebut sehingga bersara pada 1927.
Selepas bersara beliau kembali menjawat jawatan ketua kampung.
Beliau juga pernah dilantik sebagai ahli Council Negeri.
Beliau meninggal dunia pada awal 1934.
Catatan ini hanya sebahagian kecil sahaja paparan tentang kedianamika kepemimpinan Melayu.
Pada wacana akan datang akan cuba digali lagi nama-nama pemimpin Melayu termasuk Melanau yang mempunyai kepimpinan yang dinamik ini.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.