Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Dinamika dan realiti politik semasa
  • KOLUMNIS

Dinamika dan realiti politik semasa

Utusan Sarawak 2 days ago
TENGKU Zafrul Aziz.

DINAMIKA politik dalam parti dan gabungan kerajaan sentiasa mengalami perubahan yang mencerminkan ketegangan antara idealisme dan realiti politik.

Dua isu yang sedang menguji keutuhan dan hala tuju Kerajaan Perpaduan ialah pendedahan Rafizi Ramli berkaitan tawaran jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta peralihan politik Tengku Zafrul Aziz dari UMNO ke arah parti lain, berkemungkinan PKR.

Kedua-dua isu ini bukan sahaja menimbulkan persoalan tentang struktur dalaman parti, tetapi juga mempunyai implikasi luas terhadap kestabilan Kerajaan Perpaduan dan sentimen hubungan dengan komponen penting seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Antara kepimpinan dan prinsip

Pendedahan Rafizi mengenai tawaran jawatan Timbalan Presiden lantikan PKR oleh Nurul Izzah, serta penolakannya yang konsisten, membawa makna politik yang mendalam.

Ia mencerminkan dua perkara, iaitu Rafizi memilih untuk berpegang kepada prinsip, bahawa kepimpinan tidak harus datang melalui pelantikan, tetapi mandat akar umbi.

Yang kedua, PKR dilihat terlalu bergantung pada sosok Rafizi, walaupun beliau sudah menyatakan keengganan untuk kembali ke dalam struktur rasmi.

Implikasi langsung terhadap parti adalah krisis kepimpinan bayangan,iaitu persepsi bahawa PKR tiada pengganti setara untuk meneruskan gerakan reformasi atau mencetuskan gelombang kesedaran rakyat menjelang pilihan raya umum.

Perkara ini mengundang beberapa kesan termasuk mengganggu usaha pembaharuan dalaman sekiranya pemimpin baru sentiasa dibandingkan dengan Rafizi, mewujudkan ketegangan antara generasi lama dan pelapis baru dalam menentukan arah parti, juga boleh memudarkan semangat akar umbi sekiranya dilihat seolah-olah parti hanya bergantung kepada satu individu untuk legitimasi.

Hakikat perlu diterima ialah patah tumbuh hilang berganti kerana parti tersebut telah melalui pengunduran ramai tokoh besar sebelum ini seperti Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin dan sebelum itu ada nama seperti Ezam Mohd Nor, Zaid Ibrahim dan sebagainya.

Realiti ini membuktikan bahawa keutuhan sesebuah parti bukan terletak pada individu, tetapi struktur, idealisme dan kekuatan akar umbi.

Tengku Zafrul dan realpolitik

Peralihan Tengku Zafrul keluar dari UMNO, dan potensi beliau menyertai PKR, membuka bab baru dalam politik Malaysia. Zafrul mewakili teknokrat elitis yang telah lama beroperasi dalam sistem, tetapi tidak berjaya membina sokongan akar umbi yang kukuh dalam UMNO.

Beliau pernah bertanding kerusi parlimen di kawasan selamat, akan tetapi tewas kepada PH sebelum ini. Beliau diangkat menjadi Ketua Bahagian UMNO Kota Raja dan pernah menjadi bendahari UMNO Selangor akan tetapi meletak jawatan  pada April 2024.

Beliau juga ahli Majlis Tertinggi UMNO sebelum meletak jawatan dan dikatakan cuba menyertai parti PKR.

Kadir Jasin, tokoh wartawan negara dan komentator baru-baru ini melihat  imej Tengku Zafrul tidaklah secemerlang mana dalam dunia korporat yang lebih melihatnya sebagai pelompat jawatan berdasarkan vitae kurikulum beliau sejak 1996 yang menunjukkan beliau telah 14 kali berpindah tempat kerja dan bertukar jawatan, yang memegang jawatan dalam singkat bagi satu-satu jawatan.

Pola ini juga mempengaruhi pola politik beliau yang kini hangat diperkatakan.

Jawatan politik milik parti

Tengku Zafrul bukan ahli politik yang menang dalam pilihan raya, dan hanya diberi jawatan senator untuk membolehkan pelantikan sebagai menteri dan kini beliau memegang jawatan tersebut di bawah tiga Perdana Menteri.

Mandatnya dalam Jemaah Menteri berasal daripada kepercayaan dan sokongan parti khusus yang merupakan komponen dalam kerajaan. Hal ini bermakna jawatan beliau adalah milik parti, bukan milik individu.

Walaupun Zafrul mempunyai latar belakang ekonomi yang kukuh, pelantikannya tidak melalui pertandingan kerusi Parlimen dan ini membawa beberapa implikasi termasuk ketiadaan asas akar umbi atau legitimasi popular.

Ini melemahkan kedudukan politiknya dalam parti dan menjadikannya mudah tersisih. Ketergantungan kepada kuasa pusat atau Perdana Menteri dan hanya kekal selagi mendapat kepercayaan Perdana Menteri dan kelulusan parti. Justeru, apabila beliau keluar dari UMNO, mandat moral dan politik beliau sebagai wakil parti dalam kabinet secara prinsipnya juga tamat.

Prinsip demokrasi berparti

Kewajaran kekal sebagai menteri dilihat tidak wajar secara prinsip demokrasi berparti. Ini kerana mandat asal pelantikan adalah sebagai wakil parti komponen dalam kerajaan, bukan atas tiket bebas.

Jika seorang menteri meninggalkan parti yang mencalonkan beliau, logiknya ialah beliau harus melepaskan jawatan atau mendapatkan semula legitimasi daripada parti baru (melalui lantikan baharu atau pilihan raya).

Jika tidak, ini boleh mencetuskan krisis kepercayaan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, terutamanya UMNO, yang boleh menganggap ini sebagai ‘pengambilalihan individu’ oleh parti lain.

Risiko Kerajaan Perpaduan

Jika PKR menerima Tengku Zafrul dan tidak merombak semula komposisi Jemaah Menteri, maka UMNO akan melihat ini sebagai pengkhianatan dalaman dan tekanan akan meningkat ke atas Presiden Zahid Hamidi.

Parti komponen lain akan mendesak supaya sistem kuota menteri dinilai semula, kerana pelantikan individu secara ‘lompat’ ini menggugat keseimbangan kuasa.

Malah PKR pula boleh dilihat mengabaikan prinsip reformasi, iaitu menghormati mandat rakyat dan parti, bukan melantik atas kapasiti apa apa  justifikasi sekali pun.

Hakikatnya perwakilan dalam kabinet tetap memerlukan legitimasi moral dan politik, sebab itu Rafizi dan Nik Nazmi meletak jawatan apabila kalah pemilihan parti. Juga, kestabilan politik lebih bergantung kepada struktur parti yang kukuh dan mandat yang jelas, bukan kepada kehadiran individu.

Implikasi politik

Situasi ini juga akan menghakis identiti reformis PKR jika ahli baru dilihat sebagai oportunis politik, menggugat kesetiaan akar umbi yang berjuang lama tanpa penghargaan dan mencetuskan ketidakselesaan dalam kalangan pemimpin kanan yang melihat pelantikan luar sebagai tidak adil.

Apabila realpolitik dan prinsip bertembung, maka PKR mesti memilih antara keuntungan jangka pendek jika berlakunya pengambilan Zafrul dan konsistensi jangka panjang dari segi nilai reformasi dan keadilan sosial.

Sekiranya tidak diurus dengan baik, langkah ini boleh menimbulkan keretakan dalaman, termasuk potensi konflik antara kelompok reformis dan teknokrat dalam parti.

Sekiranya situasi ini berterusan, GPS akan terus dilihat sebagai contoh kestabilan dan mengekalkan kestabilan politik tempatan, apatah lagi menjelang PRN Sarawak tidak lama lagi.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Khidmat penting ‘doktor terbang’ di pedalaman
Next: JENTIK

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.