Oleh: Dilah Tuah
PUISI adalah sebuah karya sastera yang bersifat estetika. Menekankan aspek keindahan bahasa serta keupayaan untuk menyampaikan emosi atau idea secara mendalam melalui susunan kata-kata yang indah dan penuh makna. Di dalam binaan puisi, terdapat tema, iaitu idea utama yang ingin diangkat oleh penyair serta gaya bahasa yang mmberikan keunikan dan keindahan pada karya. Untuk menghasilkan puisi yang baik, diksi merupakan aspek terpenting yang perlu dikuasai oleh penyair. Keupayaan menguasai diksi membolehkan puisi yang dihasilkan dapat menyampaikan kebijaksanaan dalam bentuk kata-kata yang indah.
Dalam puisi, diksi merujuk kepada pemilihan kata yang tepat dan puitis. Kesepaduan diksi menghasilkan rima yang dapat mencipta irama dan keharmonian bunyi, serta menyampaikan amanat yang mengandungi mesej atau pengajaran kepada khalayak. Selain itu, sudut pandang turut menentukan perspektif penyair dalam mengungkapkan idea dan perasaan mereka. Unsur-unsur ini dapat dianalisis secara mendalam, melalui kajian struktur puisi, iaitu hubungan antara unsur-unsur tersebut dengan makna yang terkandung, serta mempertimbangkan konteks budaya, sosial dan emosi yang mempengaruhi penciptaan sesebuah karya.
Sehubungan dengan itu, pemilihan diksi memainkan peranan penting dalam menyampaikan idea dan emosi dalam sesebuah karya. Menurut Webber (1989) dalam The Stylistics Reader, analisis prinsip pemilihan diksi merujuk kepada proses memilih dan menggunakan perkataan yang sesuai dengan tema atau tajuk sesuatu bahan cerita, sekali gus berkesan untuk mengungkapkan idea secara bertulis atau lisan. Webber (1989) turut menegaskan bahawa pemilihan diksi yang tepat membantu memastikan jalan cerita yang disampaikan selari dengan kosa kata yang digunakan. Selari dengan pandangan ini, Saleh Ahmad (2016) dalam Kupasan dan Kajian Asasi KOMSAS menyatakan bahawa pemilihan diksi ialah usaha memilih dan menggunakan perkataan yang tepat serta berkesan untuk mengungkapkan idea, sama ada secara bertulis mahupun lisan.
Berpandukan perbincangan di atas, jelas bahawa menghasilkan puisi tidak semudah yang disangkakan oleh ramai pihak. Banyak aspek perlu dipertimbangkan terutamanya aspek keindahan, gagasan, makna yang mendalam serta bentuk struktur dalaman dan luaran bagi sesebuah puisi. Justeru tidak hairanlah mengapa Abizai (2019) dalam eseinya yang berjudul “Menukang Puisi Tidak Semudah Bermain Domino” menegaskan bahawa di tangan penyair, kemungkinan kata-kata menjadi luas dalam menuju kesatuan makna. Kehidupan dilukis dengan pelbagai warna pengucapan. Kritikan dikiaskan secara halus. Dakwah disampaikan secara berhikmah. Derita pun digambarkan dengan penuh imaginasi.
Persoalannya kini, mampukah penyair pemula mencapai tahap tersebut? Hal ini kerana, penguasaan penggunaan diksi yang baik banyak dibentuk oleh ketekunan penyair dalam menyaring kata-kata dan keluasan pengalaman yang dilaluinya. Proses ini memerlukan masa, usaha, dan pemahaman mendalam terhadap bahasa serta kehidupan. Penyair pemula perlu rajin membaca, mengamati karya-karya besar, dan terus mengasah kemahiran menulis mereka agar dapat menguasai seni pemilihan kata yang puitis dan mencipta karya yang penuh makna.
Keakraban antara diksi dan kejernihan makna merupakan asas utama yang menentukan kekuatan sesebuah puisi. Diksi yang tepat tidak hanya membentuk suasana dan menyampaikan perasaan dengan penuh kehalusan, tetapi juga mengalirkan emosi serta mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca dengan kesan yang mendalam. Sementara itu, makna yang jelas dan mudah difahami memastikan puisi dapat dihayati sepenuhnya tanpa mengurangkan unsur estetika yang menjadi jantung karya sastera. Melalui pilihan kata yang teliti, puisi mampu membangkitkan perasaan, merangsang pemikiran, dan mencipta pengalaman yang mendalam bagi pembaca. Dengan demikian, puisi bukan hanya sekadar rangkaian kata, tetapi sebuah karya yang hidup, menyentuh dan meninggalkan kesan yang berkekalan.
Dalam ulasan ini, tiga buah puisi, iaitu “Nestapa” karya Ogiey Wagiman, “Sepi Seorang Pelukis Tua” karya Alice Mohd dan “Harapan yang Pudar” karya Nelly Geafley akan dianalisis secara terperinci dari sudut bentuk, gaya pengucapan, serta kelemahan dan cadangan penambahbaikan.
Puisi “Nestapa” karya Ogiey Wagiman membawa pembaca menyelami dunia penderitaan emosi yang penuh dengan ketegangan melalui pilihan diksi yang padat dan simbolisme yang berat. Ungkapan seperti “Nestapa jilat, Nestapa ludah” dan “Ibu muntah potongan lelah” mencetuskan gambaran surreal yang menggugah rasa, tetapi pada masa yang sama sukar untuk dihubungkan dengan realiti. Simbolisme ini, seperti “ludah” dan “potongan lelah“, memperlihatkan kekuatan imaginasi penyair, namun kurangnya konteks menjadikan pemahaman terhadap makna keseluruhan agak terbatas.
Selain itu, terdapat beberapa diksi yang kurang tepat dalam binaan puisi ini. Contohnya, penggunaan kata “kerongkong” yang merujuk kepada tekak, digandingkan dengan frasa “mati dilapah“, seolah-olah menciptakan kesan yang tidak sepadan. Perkataan “lapah” biasanya digunakan untuk menggambarkan tindakan memotong atau mengupas sesuatu yang besar, seperti daging atau benda yang keras, maka tidak sesuai digandingkan dengan “kerongkong” yang lebih bersifat halus dan kecil. Kelemahan ini menunjukkan bahawa penyair mungkin terlalu teruja dalam memilih kata-kata bombastik, sehingga menimbulkan ketidaksesuaian dalam penggambaran imej.
Diksi puisi ini juga agak longgar, dengan pemilihan kata-kata yang kadangkala tidak menyatu dengan konteks keseluruhan puisi. Hal ini menjadikan gambaran yang ingin disampaikan tidak cukup jelas dan dapat mengganggu aliran emosi yang hendak diwujudkan oleh penyair.
Pemilihan diksi yang lebih tepat dan sepadan akan memperkuat keindahan dan kesan makna puisi. Penyair boleh mempertimbangkan untuk menggantikan kata “lapah” dengan kata yang dapat menggambarkan perbuatan yang lebih sesuai dengan sifat “kerongkong”. Dengan pemurnian ini, puisi akan lebih seimbang dari segi makna dan imej yang ingin disampaikan, tanpa kehilangan kekuatan estetika yang ingin dicapai.
Dari segi bentuk, puisi ini bersifat bebas dengan pengulangan kata “Nestapa” yang menciptakan kesan ritma yang mendalam, namun pilihan gaya pengucapan yang terlalu abstrak menjadikan puisi ini cenderung kepada sifat polos dan prosaik. Struktur frasa yang terpecah seperti “Ibu muntah” dan “potongan lelah” tanpa kesinambungan jelas juga mengaburkan naratif dan menyebabkan makna terselindung di balik keindahan bahasa. Hal ini memerlukan pembaca untuk menafsirkan puisi secara subjektif, yang berpotensi menghasilkan pelbagai interpretasi yang bercanggah.
Bagi menambah baik puisi ini, penyair boleh memberikan konteks yang lebih jelas terhadap simbolisme yang digunakan, misalnya melalui penggunaan metafora yang lebih spesifik seperti “luka yang mengalir” atau “kepingan hidup yang retak”, yang mampu merentangkan makna. Selain itu, memperkuat kesinambungan antara rangkap-rangkap, misalnya dengan menghubungkan frasa seperti “Nestapa jilat” dan “Ibu muntah” ke dalam satu naratif yang lebih utuh, akan menjadikan puisi ini lebih terarah tanpa mengorbankan keindahan estetika yang sudah ada.
Seterusnya puisi “Sepi Seorang Pelukis Tua” karya Alice Mohd membawa pembaca menyelami perjalanan emosional seorang pelukis tua yang melalui fasa peralihan dalam hidupnya, dari kegemilangan ke kesepian. Dengan gaya penceritaan yang sederhana namun penuh makna, puisi ini menggambarkan bagaimana seni menjadi cerminan perjalanan hidup dan kenangan.
Ungkapan seperti “setiap kanvas menyimpan cerita” dan “warna hilang, semangat tercalar” menggambarkan perubahan drastik dalam kehidupan watak utama, menunjukkan peralihan dari kreativiti yang melimpah ke kekosongan yang menyayat hati. Pemilihan diksi seperti “kanvas lusuh” dan “drama pendek tersulam” memberikan gambaran simbolik tentang kenangan yang pudar tetapi tetap berbekas. Ini membolehkan pembaca menyelami emosi yang disampaikan tanpa memerlukan interpretasi yang terlalu abstrak.
Walau bagaimanapun, puisi ini boleh diperkukuh dengan memperluas penggunaan simbolisme untuk menyokong tema kesunyian dan penerimaan. Contohnya, metafora yang lebih mendalam seperti “berus yang kaku, seperti waktu yang berhenti” boleh menambah dimensi terhadap penggambaran perjalanan masa. Penambahan konteks terhadap “meraikan masanya yang dahulu terang” juga dapat memperkukuh makna, misalnya dengan merujuk kepada pencapaian spesifik atau kenangan tertentu yang pernah menjadi sumber kebanggaan pelukis tua itu.
Selain itu, struktur naratif puisi ini terasa kurang menyatu antara gambaran kegemilangan masa lalu dan kedamaian dalam kesepian masa kini. Untuk memperbaiki kesinambungan ini, penyair boleh menggunakan hubungan metaforik yang lebih jelas antara elemen seperti “warna-warni” yang melambangkan kehidupan penuh semangat yang kini pudar, dan “reda” yang mencerminkan penerimaan terhadap perubahan. Dengan menghubungkan kedua-dua elemen ini secara tematik, puisi akan memiliki aliran yang lebih harmoni dan naratif yang lebih padu, sekaligus memperkuat kesan emosional yang ingin disampaikan.
Di satu sudut, puisi ini sudah memiliki daya tarik dengan gaya penceritaan yang tulus dan melankolik. Namun, dengan sedikit penambahbaikan pada aspek simbolisme dan kesinambungan naratif, ia dapat meningkatkan kedalaman emosi yang disampaikan. Penyesuaian ini akan membantu puisi menyampaikan mesej tentang perjalanan hidup, seni, dan penerimaan dengan lebih kuat, sehingga menjadikannya lebih bermakna dan berkesan di mata pembaca.
Puisi terakhir, iaitu “Harapan yang Pudar” karya Nelly Geafley adalah sebuah karya yang menyingkap konflik emosi manusia. Dalam puisi ini, penyair menggambarkan perjalanan dari kegemilangan menuju keputusasaan, sebelum berakhir dengan sinar optimisme yang tersisa. Puisi ini menggunakan metafora dan simbolisme yang kuat untuk menyampaikan perjalanan emosi yang kompleks, menjadikannya sebagai refleksi kehidupan yang penuh liku.
Pada permulaan, diksi seperti “senja yang tidak lagi bercahaya” dan “bayang keraguan” melukiskan suasana melankolik, menandakan peralihan dari fasa kehidupan yang penuh harapan ke arah kekecewaan. Imejan “mimpi-mimpi yang pernah aku anyam dengan keyakinan kini rapuh” memperlihatkan kehancuran aspirasi yang pernah menjadi asas kekuatan penyair, diibaratkan seperti dedaun kering yang terbang tanpa arah. Penggunaan simbol dedaun ini menguatkan gambaran ketidakberdayaan terhadap cabaran kehidupan.
Puisi ini juga menampilkan kontras antara masa lalu dan masa kini. “Aku adalah matahari di pagi yang cerah” menggambarkan semangat yang dahulu membara. Manakala “kabut penat yang menelan setiap cahaya” melambangkan tekanan hidup yang menghancurkan keceriaan tersebut. Penggunaan metafora seperti “lautan luka yang tak terlihat” dan “gelombang kesedihan menghentam tanpa henti” menambah intensiti emosi, menunjukkan kedalaman penderitaan yang dialami oleh penyair.
Kekuatan utama puisi ini terletak pada pengakhiran yang membawa harapan. “Api itu, meski malap, ia kekal hidup” menyampaikan mesej bahawa harapan, walaupun lemah, tidak pernah sepenuhnya padam. Imejan fajar dalam frasa “akan tiba fajar baru membawa harapan kembali pulang” pula memberikan simbol optimisme dan pembaharuan. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit kekeliruan dalam kesinambungan simbolisme antara api dan fajar. Kedua-duanya membawa makna serupa sebagai lambang harapan, tetapi penggunaannya secara serentak tanpa hubungan yang jelas boleh menimbulkan ketidakseimbangan dalam naratif.
Untuk memperbaiki bahagian ini, penyair boleh memperjelas hubungan antara kedua-dua simbol. Sebagai contoh, api dapat dilihat sebagai kekuatan sementara yang bertahan sehingga fajar tiba:
Api itu, meski malap, terus bertahan
sehingga fajar menyinari kegelapan,
menyatukan bara harapan dengan sinar baru.
Dengan cara ini, simbolisme menjadi lebih saling melengkapi, dan kesinambungan naratif lebih kukuh. Alternatifnya, jika fajar dipilih sebagai simbol utama, bahagian mengenai api boleh dihilangkan untuk mengekalkan fokus kepada imejan yang lebih dominan.
Di sisi yang lain,” Harapan yang Pudar” adalah sebuah puisi yang memikat dengan kemampuan menggambarkan kompleksiti emosi manusia. Ia bukan sekadar catatan tentang penderitaan, tetapi juga kisah kebangkitan semula, menjadikannya relevan dan inspiratif untuk pembaca yang melalui perjalanan serupa. Penambahbaikan kecil pada kesinambungan imejan dapat menjadikan puisi ini lebih kuat sebagai sebuah naratif puitis yang lengkap.
Berdasarkan ulasan di atas, dapat dirumuskan bahawa aspek yang paling penting dalam puisi dan perlu diberi perhatian oleh penyair adalah pemilihan diksi. Kesepaduan dan ketepatan diksi bukan sahaja membentuk puisi yang berkesan dan segar, tetapi juga memainkan peranan utama dalam menyampaikan makna yang jelas kepada pembaca. Dengan pendekatan ini, puisi akan lebih mudah dihayati dan meninggalkan kesan estetika yang mendalam.
Teruskan berkarya!