KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) memutuskan kemasukan semua Warganegara Malaysia (termasuk rakyat Sarawak) dari Semenanjung, Sabah dan Labuan berkuat kuasa 1 Ogos 2020, akan dipasang ‘Wristband’ dan dibenarkan balik ke rumah masing-masing.
Pengerusi JPBN, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, mereka ini akan dikehendaki untuk diambil sampel Covid-19 pada hari pertama atau hari kedua di Klinik Kesihatan yang berdekatan.
“Bagi destinasi terakhir mereka di kawasan pedalaman iaitu di luar (Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri), mereka akan dikuarantin dan akan diambil sampel ujian Covid-19 pada hari ke-2.
“Sekiranya keputusan ujian adalah negatif, barulah mereka dibenarkan balik ke rumah tanpa perlu menyambung baki kuarantin,” ujar Uggah dalam sidang media laporan hari Covid-19 di Bangunan Dun Lama semalam.
Uggah turut menegaskan berkuatkuasa 1 Ogos 2020, semua rakyat Sarawak wajib memakai pelitup topeng muka semasa berada di tempat awam, pusat beli-belah, pengangkutan awam, pasar basah dan kedai makan.
“Tindakan akan diambil oleh pihak penguatkuasa sekiranya pengusaha premis dan pelanggan didapati tidak memakai pelitup topeng muka,” jelasnya,
Beliau berkata JPBN juga memutuskan semua tempoh masa operasi perniagaan di Zon 1 meliputi Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian akan dihadkan bermula bermula 6.00 pagi hingga 10.00 malam.
“Manakala bagi pengusaha stesen minyak dan kilang dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa. Arahan ini berkuatkuasa pada 1 Ogos 2020.
“Pengusaha stesen minyak dan kilang yang beroperasi seperti biasa hendaklah memberi maklum kepada JPBN,” kata Uggah.
Oleh Alexandra Lorna