JAKARTA, Indonesia: Seorang juruterbang Malaysia yang didapati positif methamphetamine, MDMA dan kokain selepas menerbangkan pesawat penumpang ke Indonesia berdepan hukuman mati selepas didakwa menyeludup lebih 70,000 pil ekstasi dalam beg pakaiannya, kata pihak berkuasa hari ini.
Juruterbang berusia 39 tahun itu, yang hanya dikenal pasti berdasarkan inisial MSO, ditahan pada Rabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, sejurus tiba dari Kuala Lumpur.
Pejabat kastam lapangan terbang berkenaan tidak mendedahkan syarikat penerbangan tempat juruterbang itu bertugas, namun nombor penerbangan menunjukkan pesawat tersebut adalah milik Malaysia Airlines.

“Keputusan ujian air kencingnya didapati positif terhadap methamphetamine, MDMA dan kokain. Jadi, ketika penerbangan itu berlangsung, dia berada di bawah pengaruh dadah,” kata pegawai Pejabat Kastam Lapangan Terbang, Hengky Tomuan Parlindungan Aritonang, kepada pemberita di ibu negara Indonesia itu.
“Apa yang membimbangkan kita semua ialah pekerjaan individu ini ialah juruterbang dan ketika tiba di sini, dia baharu sahaja menerbangkan pesawat itu dari Kuala Lumpur ke Indonesia,” katanya.
Pegawai kastam menemui 14 beg berisi ekstasi — lebih 70,000 pil — dalam beg pakaian juruterbang itu, selain empat gram methamphetamine yang dipercayai untuk kegunaan peribadi dalam beg bawaannya.
Hengky berkata, juruterbang itu berkemungkinan tidak menyangka akan diperiksa di laluan khas kastam untuk juruterbang dan kru, namun pemantauan yang dijalankan adalah sama terhadap semua individu.
Dalam kenyataan kepada penyiasat, lelaki itu berkata cubaan tersebut merupakan kali ketiga dia menyeludup dadah, iaitu kali kedua ke Indonesia dan sekali di Malaysia.

Awaludin berkata, polis mengesyaki MSO merupakan sebahagian daripada sindiket antarabangsa dan dia telah didakwa atas kesalahan menyeludup dadah.
Mengikut undang-undang Indonesia, dia berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Indonesia mempunyai antara undang-undang antidadah paling ketat di dunia, termasuk hukuman mati terhadap pengedar dadah, namun negara itu mengekalkan moratorium pelaksanaan hukuman mati sejak beberapa tahun lalu.
Malaysia Airlines Jalankan Semakan Dalaman
Juruterbang itu memberitahu penyiasat bahawa dia dijanjikan bayaran kira-kira RM50,000 (sedikit melebihi AS$12,000) untuk menghantar dadah berkenaan di Jakarta.
Malaysia Airlines dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan telah melancarkan semakan dalaman.
“Malaysia Airlines akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan selaras dengan semua undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.
Syarikat penerbangan itu enggan mengulas lanjut sementara menunggu siasatan pihak berkuasa Indonesia.
Terdapat puluhan warga asing yang menunggu pelaksanaan hukuman mati di Indonesia atas kesalahan berkaitan dadah, dengan jumlah keseluruhannya mencecah ratusan orang.
Indonesia, negara majoriti penduduk Islam di Asia Tenggara, kali terakhir melaksanakan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah pada 2016 apabila seorang rakyat Indonesia dan tiga warga Nigeria dihukum mati oleh pasukan penembak.
Dua lelaki Britain dijatuhi hukuman penjara masing-masing sembilan dan 11 tahun pada Mac lalu selepas didapati bersalah menyeludup kokain ke pulau peranginan Bali.
Pada Jun, polis Bali menahan dua warga Rusia kerana cuba menyeludup hampir lapan kilogram hashish ke pulau peranginan itu. — AFP





