KUCHING: Majlis Nuzul al-Quran 2023 peringkat negeri Sarawak dijangka dihadiri lebih 1,000 pengunjung.
Majlis sambutan Nuzul al-Quran 2023 peringkat negeri akan diadakan di Masjid Besar Darul Ma’mur Lawas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sambutan bertemakan ‘Sarawak Maju Makmur’ itu bakal dihadiri oleh ketua masyarakat, kakitangan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, wakil masjid dan surau, pelajar Institut Pengajian Tinggi(IPT) dan seluruh masyarakat setempat dari seluruh pelosok negeri.
“Majlis sambutan ini akan dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama isterinya Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
“Kita juga bercadang untuk menjemput kenamaan daripada Brunei Darussalam dan negeri jiran kita Sabah untuk bersama memeriahkan majlis sambutan Nuzul al-Quran 2023 peringkat negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Nuzul al-Quran 2023 peringkat negeri di Wisma Sumber Alam di sini, hari ini.
Majlis sambutan ini juga akan dimeriahkan dengan beberapa acara sampingan seperti ceramah Ramadan yang akan dikelolakan oleh Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Sarawak yang akan berlangsung di seluruh negeri Sarawak(JAIS).
“Kami juga ada mengadakan pameran al-Quran pada 7 April di Masjid Besar Darul Ma’mur Lawas dan acara ini akan dikendalikan oleh Pusat Penerangan Islam dan Kementerian Dalam Negeri.
“Acara bicara Ramadan pula akan diadakan pada 8 April ini di Hotel Seri Malaysia, Lawas. Acara ini juga akan dilaksanakan Oleh JAIS bersempena dengan Nuzul al-Quran.
“Pada hari yang sama(8 April), Ihya Ramadan Perdana Borneo akan diadakan di Masjid Bandar Sahabat. Masjid ini betul-betul di sempadan Sarawak dan Sabah. Sebahagian masjid tersebut berada di Sabah dan sebahagian ya di Sarawak.
“Kita akan adakan acara ini termasuklah ceramah yang akan dibuat semasa program bicara Ramadan bertemakan ‘Masyarakat Madani’ dan sebagainya,” katanya.
Untuk rekod, Lawas pernah menjadi tuan rumah bagi acara maulidur rasul, tilawah dan nasyid untuk peringkat negeri.
Sambutan Nuzul al-Quran 2023 peringkat negeri Sarawak akan diadakan di Masjid Besar Darul Ma’mur Lawas disambut pada 7 April ini bersamaan 18 Ramadan dan dijangka bermula pada 5.30 petang.
Oleh SHAHRUL QAIZAT