
MIRI: Dalam era digitalisasi tanpa sempadan, peranan wartawan menjadi semakin mencabar dan signifikan.
Kewartawanan hari ini bukan sekadar menyampaikan berita, malah memikul tanggungjawab sosial yang besar dalam membentuk pemikiran rakyat, memelihara keharmonian masyarakat, serta memperkukuh kepercayaan terhadap dasar dan inisiatif pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kerajaan Sarawak amat menghargai sumbangan besar warga media dalam membantu menyampaikan maklumat yang tepat dan berkesan kepada rakyat, khususnya berkaitan dasar, inisiatif dan perkhidmatan kerajaan yang sejajar dengan agenda pembangunan Sarawak melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Katanya, PCDS 2030 adalah pelan pembangunan komprehensif yang menjadi panduan utama kerajaan Sarawak untuk mencapai status wilayah maju menjelang 2030.
“Dalam hal ini, media memainkan peranan penting sebagai jambatan komunikasi antara kerajaan dan rakyat, agar segala aspirasi pembangunan dapat difahami dan disokong secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat.
“Saya percaya, warga media di Miri dan seluruh zon utara Sarawak telah menjalankan tanggungjawab ini dengan penuh amanah.
“Komitmen tinggi dalam melaporkan berita yang sahih dan berimbang telah menyumbang kepada peningkatan kepercayaan rakyat terhadap aspirasi dan hala tuju kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Karnival Sukan Media Sarawak (KASUMeS) di sini hari ini.
Tambahnya, program seperti KASUMeS ini juga membuka ruang untuk memperkukuh hubungan sesama pengamal media menerusi aktiviti sukan yang sihat dan bersifat inklusif.
“Ia bukan sahaja dapat meningkatkan kesihatan fizikal dan mental, malah memperkukuh semangat kerjasama dan perpaduan antara media pelbagai agensi dan platform.
“Sukan merupakan satu medium yang amat berkesan dalam membina jaringan sosial yang positif, memupuk nilai-nilai murni seperti semangat kesukanan, disiplin, dan saling menghormati.
“Saya yakin karnival ini juga dapat mengukuhkan ‘engagement’ atau keterlibatan dalam kalangan pengamal media dengan masyarakat setempat, sekaligus membina persefahaman yang lebih erat antara media dan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, katanya lagi, dalam dunia yang semakin didorong oleh teknologi dan digitalisasi, para wartawan juga perlu sentiasa meningkatkan kemahiran diri agar dapat menyesuaikan diri dengan perubahan landskap penyampaian maklumat.
“Penguasaan teknologi, etika kewartawanan digital, dan literasi media perlu sentiasa diperkasa agar kita tidak ketinggalan dalam era maklumat yang pantas dan mencabar ini.
“Saya menggesa agar semua pengamal media terus komited dalam menegakkan prinsip kewartawanan yang profesional, berintegriti dan beretika tinggi,” tegasnya.
Justeru itu, sikap ini amat penting dalam memastikan media kekal sebagai institusi yang dihormati dan dipercayai oleh masyarakat.
Turut hadir, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan dan Presiden Persatuan Wartawan Utara Sarawak Chai Choon Chin.
Oleh Adum Liu