Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Diesel murah, telur mahal: Paradoks kos sara hidup di Sabah, Sarawak
  • KOLUMNIS

Diesel murah, telur mahal: Paradoks kos sara hidup di Sabah, Sarawak

Utusan Sarawak 6 hours ago

DI media sosial dan akhbar arus perdana, perbezaan harga bahan api antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak sering menjadi bahan polemik. Ada yang melihat harga diesel lebih rendah di Borneo sebagai satu bentuk ‘keistimewaan wilayah’.

Namun, naratif ini runtuh sebaik sahaja kita meneliti satu hakikat yang lebih mendasar bahawa harga barang keperluan asas di Sabah dan Sarawak secara konsisten lebih mahal berbanding Semenanjung Malaysia.

Di sinilah muncul paradoks yang jarang dihuraikan secara jujur, misalnya bagaimana mungkin diesel lebih murah, tetapi telur, ayam dan sayur-sayuran lebih mahal?

Pengalaman di Sarawak

Dalam dua hingga tiga bulan sekali, saya selalu balik ke Sarawak untuk menjenguk keluarga, urusan rasmi seperti melakukan penyelidikan lapangan, seminar, mahu pun mesyuarat rasmi.

HAKIKATNYA, walaupun diesel lebih murah, harga barang tetap tinggi di negeri ini.

Di sinilah saya  berpeluang menyemak harga barang keperluan di pusat beli-belah atau kedai-kedai di Sarawak.

Di sinilah juga dapat menilai dan menikmati harga sebenar barang keperluan asas di kawasan di Sarawak yang ditentukan pula oleh lokasi bahagian.

Misalnya, harga telur sepapan (30 biji) gred A pernah dilihat mencecah RM18 berbanding harga di Kuala Lumpur gred yang sama, saya boleh dapat dengan harga RM13 sahaja.

Untuk harga telur gred C sepapan mengikut purata terkini  di Sarawak mengikut bahagian ialah di Belaga RM16.50, di Limbang  pula RM 16.77. Agak-agaknya berapa harga telur sepapan di gred A pula?

Begitu juga harga ayam segar satu kilo, di Sarawak boleh mencecah hampir RM12 sekilo manakala di Kuala Lumpur atau di Selangor harga ayam segar boleh didapati berharga RM6.69 sekilo. Begitu juga harga barangan lain seperti sayur dan bawang.  

Apakah yang boleh anda dirumuskan daripada membeli-belah keperluan asas berteraskan makanan seperti ini? Kesemuanya bergantung kepada cara anda berfikir, menganalisis dan merumus.

Isu harga

Segala ini  bukanlah variasi kecil, sebaliknya ia adalah jurang struktur. Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia turut mengesahkan bahawa purata harga ayam di Semenanjung menunjukkan bahawa harga di Sarawak berada pada paras lebih tinggi secara konsisten. Lebih penting, fenomena ini bukan terhad kepada satu atau dua komoditi.

HARGA telur sepapan (30 biji) gred A pernah dilihat mencecah RM18 di Sarawak berbanding harga di Kuala Lumpur gred yang sama, dengan harga RM13 sahaja.

Berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol di Sabah dan Sarawak secara struktur mencatatkan harga lebih tinggi berbanding Semenanjung.

Situasi ini bermaksud rakyat di Sabah dan Sarawak bukan sahaja membayar lebih untuk telur atau ayam, tetapi untuk keseluruhan ‘bakul makanan’ harian mereka yang terdiri daripada sayur-sayuran, bawang, hingga kepada barangan runcit asas.

Isu asas barangan keperluan

Cabaran utama di Sabah dan Sarawak ialah struktur logistik yang berbeza secara fundamental. Semenanjung Malaysia menikmati kelebihan jaringan lebuh raya, dan pusat pengedaran yang padat. Barangan boleh dihantar secara darat dengan kos yang relatif rendah dan masa yang singkat.

Sebaliknya, Sabah dan Sarawak bergantung kepada logistik berasaskan laut, melibatkan kontena, pelabuhan, dan penghantaran berlapis sebelum sampai ke pengguna akhir. Setiap lapisan ini menambah kos dan kos itu akhirnya dipindahkan kepada pengguna.

PASAR Sentral Sibu.

Tambahan pula, skala pasaran di Sabah dan Sarawak lebih kecil, menyebabkan ekonomi skala tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Kos pengedaran per unit menjadi lebih tinggi, sementara rantaian bekalan lebih terdedah kepada gangguan.

Dalam banyak kes, barangan asas seperti telur dan ayam juga bergantung kepada bekalan dari luar negeri atau import antara wilayah, yang sekali lagi menambah kos.

Dibelenggu harga mahal

Di sinilah relevannya harga diesel yang lebih rendah di Sabah dan Sarawak. Ketika harga diesel di Semenanjung mencecah sekitar RM5.50 seliter, harga di Sabah dan Sarawak dikekalkan sekitar RM2.15 seliter.

Perbezaan ini sering dilihat sebagai keistimewaan, tetapi sebenarnya ia berfungsi sebagai mekanisme pampasan (compensatory mechanism) terhadap kos logistik dan struktur ekonomi yang lebih mahal di negeri ini.

Hakikatnya, walaupun diesel lebih murah, harga barang tetap tinggi. Hakikat ini menunjukkan bahawa kos sebenar ekonomi di Sabah dan Sarawak jauh lebih besar daripada sekadar harga bahan api.

Diesel murah hanya mengurangkan sebahagian tekanan, bukan menyelesaikan keseluruhan masalah. Jika harga diesel diselaraskan dengan Semenanjung, kesannya akan segera dirasai dalam bentuk kenaikan harga makanan yang lebih drastik dan ini mewujudkan suatu yang boleh dianggap sebagai beban berganda kepada rakyat: harga barang sudah mahal, ditambah pula kos tenaga yang meningkat.

Perspektif dasar awam

Daripada sudut dasar awam, ini menimbulkan satu kesimpulan penting bahawa negara kita Malaysia bukanlah memiliki ekonomi yang homogen, dan oleh itu tidak boleh diurus dengan pendekatan harga yang seragam.

Keadilan dalam konteks ini bukan bermaksud semua wilayah membayar harga yang sama, tetapi memastikan setiap wilayah tidak menanggung beban yang tidak seimbang dengan realiti mereka.

Namun begitu, mempertahankan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak tidak bermakna kita harus mengabaikan kelemahan struktur yang lebih besar.

Harga makanan yang tinggi di Sarawak dan Sabah sebenarnya mencerminkan masalah yang lebih mendalam iaitu keterbatasan infrastruktur, kelemahan kecekapan rantaian bekalan, dan kebergantungan kepada logistik mahal.

Selagi isu-isu ini tidak ditangani secara serius, subsidi hanya akan menjadi penyelesaian sementara.

Penyelesaian sebenar

Dalam jangka panjang, penyelesaian sebenar tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan subsidi semata-mata, sebaliknya memerlukan reformasi struktur yang menyeluruh dan bersepadu.

Antaranya ialah usaha memperkukuh jaringan jalan raya serta sistem logistik darat di Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan laut yang mahal dan tidak efisien.

Pada masa sama, pengeluaran makanan tempatan perlu dipertingkatkan secara agresif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import antara wilayah, sekali gus menstabilkan harga barang keperluan asas.

Selain itu, sistem pengedaran perlu dimodenkan agar lebih cekap dan berdaya saing, termasuk melalui penggunaan teknologi dan rantaian bekalan yang lebih tersusun. 

Ini sesuai dengan pelbagai seruan ahli politik kepimpinan tertinggi negeri hingga kepimpinan politik akar umbi, selain tekad pembangunan oleh kerajaan negeri Sarawak.

Tidak kurang pentingnya ialah keperluan memperluas penggunaan tenaga alternatif bagi mengurangkan pergantungan yang tinggi terhadap diesel sebagai sumber utama tenaga logistik.

Tanpa langkah-langkah reformasi ini, jurang harga antara Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung akan terus berlarutan, dan subsidi yang diperbesarkan sekali pun hanya berfungsi sebagai penyelesaian sementara, bukan jalan keluar yang mampan.

Pelajaran asas

Akhirnya, perbandingan harga telur dan ayam memberi kita satu pelajaran dasar yang jelas, iaitu, diesel murah di Sabah dan Sarawak bukanlah keistimewaan, tetapi keperluan.

Ia adalah pengiktirafan bahawa rakyat di wilayah tersebut sudah pun membayar ‘harga tersembunyi’ melalui kos makanan yang lebih tinggi. Maka, mengekalkan harga diesel yang lebih rendah bukanlah soal memberi lebih kepada Sabah dan Sarawak, tetapi soal tidak menambah lagi beban yang sedia ada.

Dalam erti kata yang lebih luas, isu ini mengingatkan kita bahawa cabaran sebenar Malaysia bukan sekadar mengurus subsidi, tetapi mengurus ketidakseimbangan wilayah yang telah lama berakar dalam struktur ekonomi negara.

Selagi jurang ini wujud, dasar yang dilaksanakan berbeza bukan sahaja wajar, malah amat diperlukan segera!

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara  dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Daripada rundingan ke Ekpedisi Mujong II

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.