
PHNOM PENH, Kemboja: Krisis bahan api global, dicetuskan oleh konflik ketenteraan di Asia Barat, mengancam mata pencarian nelayan Muslim Cham di sepanjang Sungai Tonle Sap di ibu negara.
Kira-kira 150 keluarga nelayan bergelut susulan harga diesel tinggi, memandangkan pergantungan pada bahan api itu untuk menggerakkan rumah bot kecil mereka.
Kementerian Perdagangan menaikkan harga diesel ke paras tertinggi 8,100 riel (RM8.19), berkuat kuasa semalam.
Kos yang ditanggung kumpulan nelayan itu pada hujung Februari hanya kira-kira 3,850 riel (RM3.87) seliter diesel.
“Hidup adalah satu perjuangan bagi nelayan kami sejak harga bahan api mula naik. Kami memerlukan kira-kira lima liter secara purata setiap hari dan sekurang-kurangnya 10 liter jika kami melakukan perjalanan lebih jauh di sepanjang sungai.
“Sekarang tangkapan kami juga kian berkurangan dan kami menjual ikan kami pada harga yang sama. Kelangsungan hidup kami semakin mencabar setiap hari,” kata ketua kampung Chonkah Eii Yu kepada Bernama dari botnya di bawah panas terik pagi yang mencecah 35 darjah Celsius pada Sabtu.
Kampung itu terletak di daerah Chroy Changvar di pertemuan Sungai Mekong dan Tonle Sap.
Sungai yang berliku merentasi Phnom Penh adalah sebahagian daripada sistem Sungai Mekong.
Suasana sayu menyelubungi tebing Sungai Tonle Sap, tempat nelayan dan keluarga mereka berhimpit di atas bot untuk berteduh dalam keadaan daif tanpa keperluan asas.
Seperti “melukut di tepi gantang” komuniti terpencil itu ditinggalkan oleh arus pembangunan negara sejak dua dekad.
Urbanisasi yang pesat semakin mencerobohi kawasan kecil di mana mereka “menumpang hidup” selama bertahun-tahun, memaksa sebahagian keluarga untuk bergerak lebih jauh di sepanjang tebing sungai.
Malah surau kayu yang dahulunya luas telah dihimpit ke sudut sempit.
Kos sara hidup yang semakin meningkat, perubahan iklim, hasil ikan yang semakin berkurangan, pendapatan tidak menentu dan kemiskinan terus membelenggu masyarakat ini.
Sebaliknya, di seberang Sungai Tonle Sap, menara moden yang bergaya, hotel dan citra kosmopolitan yang bertenaga menampilkan status Phnom Penh yang semakin maju di rantau ini.
“Kami bergelut untuk menangkap dua kilogram ikan setiap hari tetapi terpaksa membelanjakan begitu banyak untuk minyak. Ia bukan pekerjaan yang berdaya maju. Keluarga yang mempunyai empat atau lima anak perlu memberi makan dan menyekolahkan mereka. Ini adalah beban kewangan yang berat bagi kami,” kata Eii Yu, 66 tahun, yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya sebagai nelayan selepas mempelajari kemahiran tradisional itu daripada bapanya.
Komuniti kecil nelayan Islam Cham ini terus menunjukkan semangat yang kuat dan ketabahan dalam kesusahan yang berterusan.
Musim memancing yang bermula bulan ini akan berakhir pada Jun dan pastinya akan menyingkap satu lagi kisah sengsara untuk para nelayan ini.
-Bernama