Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Dicky Ishak kembali bersinar di pentas SIFMA
  • INSPIRASI

Dicky Ishak kembali bersinar di pentas SIFMA

Utusan Sarawak 16 hours ago
Dicky Ishak merakamkan kenangan bersama model yang memperagakan rekaan melambangkan kehalusan seni serta keanggunan persembahan couture. Foto Ridzuan Jumat

KUCHING: Pereka fesyen kelahiran Singapura, Dicky Ishak, kembali menonjolkan kreativiti dan kehalusan couture beliau di Festival Antarabangsa Muzik dan Seni Sarawak (SIFMA) edisi keenam 2025, selepas berehat dua tahun daripada pentas fesyen umum.

Ketika ditemui baru-baru ini, Dicky berkongsi pengalaman, cabaran, dan aspirasi baharu dalam perjalanan seni fesyennya.

Menurut Dicky, beliau mendapat jemputan untuk terlibat dalam segmen fesyen SIFMA tahun ini selepas menerima undangan daripada Dato’ Raymond bersama pasukan Segmen Fesyen SIFMA.

Menurut Dicky, penyertaannya dalam SIFMA membawa makna yang sangat istimewa sebagai seorang pereka dari luar Malaysia.

Beliau menganggap peluang berada di pentas seni bertaraf antarabangsa itu sebagai satu penghormatan besar.

SENTUHAN TERAKHIR… Dicky melakukan sentuhan terakhir dari semua aspek rambut, solekan dan aksesori bagi memastikan persembahan yang seragam dan bersepadu. Foto Ridzuan Jumat

Baginya, SIFMA bukan sekadar festival, tetapi sebuah pertemuan budaya dunia yang menyatukan seniman, pemuzik dan penggiat seni dengan identiti serta cerita masing-masing, sekali gus menjadikan Kuching pusat seni yang hidup dan penuh jiwa.

Penyertaan tersebut turut membuka ruang eksklusif untuk beliau mempersembahkan rekaannya kepada dunia sambil menyerap inspirasi daripada kepelbagaian budaya yang luar biasa, menjadikannya pengalaman yang memperkaya, mengangkat nama dan menandai langkah penting dalam perjalanan kariernya sebagai seorang couturier.

KEKALKAN IDENTITI, RELEVANSI REKAAN

Dicky menegaskan bahawa fesyen sebenar lahir daripada keseimbangan antara evolusi dan identiti.

“Saya sentiasa percaya bahawa fesyen yang sebenar lahir daripada keseimbangan antara evolusi dan identiti. Untuk memastikan rekaan saya kekal relevan dan moden, saya sentiasa mengikuti perkembangan trend global, teknologi fabrik, serta pergerakan seni kontemporari.

TAKLIMAT… Dicky melakukan taklimat kepada modelnya sebelum ke pentas peragaan. Foto Ridzuan Jumat

“Namun dalam setiap pembaharuan itu, saya tetap kembali kepada DNA jenama saya, menekankan kehalusan buatan tangan, siluet yang terstruktur, dan elemen dramatik yang menjadi signature saya.

Katanya, setiap rekaan disuntik dengan sentuhan peribadi: cerita, emosi, dan karakter yang hanya dapat hadir melalui perspektif seorang couturier.

Katanya, inilah yang memastikan setiap karya bukan sekadar mengikuti masa, tetapi mempunyai jiwa dan identiti yang tersendiri identiti yang konsisten, dikenali, dan tidak boleh ditiru.

“Cabaran terbesar bukan sekadar kreativiti, tetapi mengekalkan keaslian diri sambil menyeimbangkan tekanan kerja dengan ruang untuk diri sendiri,” kata beliau.

Proses ini membolehkan beliau melihat fesyen dengan lebih tenang, matang, dan fokus pada makna setiap rekaan.

MOMEN BANGGA DI PENTAS SIFMA

Melihat rekaan sendiri diperagakan di hadapan penonton antarabangsa adalah pengalaman yang sukar digambarkan.

“Melihat rekaan saya berdiri megah di hadapan penonton antarabangsa di SIFMA adalah satu detik yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

DICKY bersama modelnya di pentas Segmen Fesyen SIFMA. Foto Ridzuan Jumat

“Ia terasa seperti melihat sebuah impian diterjemahkan di atas pentas setiap jahitan, setiap siluet, setiap perincian hidup dan bernafas di bawah cahaya dunia,” katanya.

Dicky Ishak, menganggap detik melihat rekaan beliau berdiri megah di hadapan penonton antarabangsa di SIFMA sebagai satu pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Menurut Dicky, momen itu seolah-olah menyaksikan sebuah impian diterjemahkan di atas pentas, di mana setiap jahitan, siluet, dan perincian rekaan hidup dan bernafas di bawah cahaya dunia.

“Sebagai pereka dari luar Malaysia, detik itu membawa rasa syukur, bangga, dan rendah hati pada masa yang sama. Ia mengingatkan saya mengapa saya mencipta: untuk menyampaikan emosi, cerita, dan identiti melalui seni fesyen,” kata beliau.

BUSANA rekaan Dicky Ishak. Foto Ridzuan Jumat

Beliau menambah, apabila karya dihargai oleh audiens global, ia bukan sekadar pengiktirafan, tetapi juga pengesahan bahawa bahasa seni adalah universal.

Detik berharga itu turut menjadi pemangkin bagi Dicky untuk terus berkarya, bereksperimen, dan membawa nama Dicky Ishak Couturier ke pentas yang lebih besar, sekali gus menandakan langkah penting dalam perjalanan kerjayanya sebagai couturier.

KEMBALI SELEPAS DUA TAHUN MENYEPI

Selepas dua tahun ‘menyepi’ daripada dunia fesyen, Dicky Ishak menjelaskan beliau sebenarnya tidak pernah meninggalkan industri itu.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada klien peribadi yang mahukan rekaan eksklusif, perincian couture, dan pengalaman layanan secara individu, yang menjadi identiti jenama beliau.

Menurut Dicky, tahun ini beliau membuat kemunculan semula di pentas umum kerana merasakan sudah tiba masanya untuk membuka lembaran baharu dalam perjalanan kreatifnya.

“Banyak evolusi berlaku dalam cara saya berkarya sepanjang bekerja secara tertutup dengan pelanggan, dan kini saya ingin membawa pengalaman, kematangan, serta perspektif baharu itu ke hadapan,” kata beliau.

Beliau menegaskan bahawa ‘comeback’ ini bukan sekadar muncul semula, tetapi merupakan fasa baharu yang lebih matang, lebih fokus, dan lebih berani.

Dicky kembali bukan untuk mengejar ruang, tetapi untuk mempersembahkan sesuatu yang benar-benar bermakna dan melambangkan evolusi beliau sebagai seorang ‘couturier’.

HALA TUJU BAHARU

Dicky Ishak menegaskan bahawa beliau kini berada dalam fasa baharu perjalanan kreatif, satu era yang lebih berani dan bercita-cita tinggi.

Antara impian terbesar beliau adalah membawa rekaan ke pentas fesyen antarabangsa, termasuk Minggu Fesyen New York 2026 pada Februari tahun hadapan.

Menurut Dicky, ia bukan sekadar untuk menampilkan koleksi di luar negara, tetapi juga untuk memperluaskan bahasa seni beliau kepada audiens global serta berkongsi identiti dan cerita Dicky Ishak Couturier dengan dunia.

Beliau menambah, setiap rekaan yang dihasilkan adalah cerminan evolusi, kematangan, dan visi kreatif yang terus berkembang.

Selain itu, Dicky berhasrat untuk terus membina kolaborasi strategik, memperluaskan pengalaman bespoke, dan meneroka inovasi baru dalam fabrik, siluet, dan teknik couture.

“Hala tuju ini adalah tentang pertumbuhan, impian, dan keberanian untuk melangkah lebih jauh, sambil tetap mengekalkan jiwa dan identiti jenama yang unik,” kata beliau.

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Noonabride Kuching tawar busana pengantin 4XL, tingkat keyakinan wanita pelbagai saiz

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.