
KUCHING: Dialog dan Makan Malam Tenaga Hijau Solarvest yang berlangsung di Kompleks UNIFOR malam ini terus menyerlahkan komitmen syarikat itu dalam menyokong agenda tenaga bersih negeri.
Program tersebut diadakan selaras dengan tema Malam untuk Masa Depan Lestari Sarawak: Perkasa Rumah, Perniagaan dan Komuniti dengan Tenaga Solar (An Evening for Sarawak’s Sustainable Future: Powering Homes, Business and Community with Solar Energy).
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, kehadiran pelbagai pihak pada majlis itu membuktikan kesungguhan negeri untuk bergerak ke arah sistem tenaga yang lebih bersih dan selamat.
“Kerjasama seperti ini amat penting bagi merealisasikan lebih banyak projek tenaga boleh diperbaharui di Sarawak. Ia bukan sahaja membuka peluang pelaburan baharu dan mewujudkan pekerjaan berkemahiran, malah memastikan manfaat tenaga bersih sampai kepada rakyat,” katanya.
“Sarawak kaya dengan sumber tenaga boleh diperbaharui. Dengan memanfaatkan potensi ini secara bijak, kita bukan sahaja dapat memperkukuh ekonomi hijau negeri, tetapi juga memastikan manfaat tenaga bersih dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.

Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Strategi Solarvest, Leon Liew Chee Ing pula menegaskan usaha syarikat itu kekal seiring hala tuju negeri.
“Kami mahu memastikan tenaga bersih bukan sekadar aspirasi, tetapi gaya hidup mampu dimiliki dan mudah dicapai. Dengan memperkasa masyarakat untuk menjana dan menggunakan tenaga solar, kita membina ekosistem tenaga hijau yang mampan serta inklusif,” ujarnya.
Acara itu turut menekankan komitmen Solarvest dalam memperkukuh ekosistem tenaga bersih negeri melalui inovasi, kerjasama strategik dan libat urus komuniti, selaras aspirasi Sarawak untuk menjadi hab tenaga bersih berteraskan penyelesaian rendah karbon dan dijana secara tempatan.
Pada majlis sama, hadirin turut diberi penerangan mengenai Skim Subsidi Net Energy Metering (NEM) yang diperkenalkan Sarawak Energy Berhad pada September lalu, menawarkan insentif sehingga RM12,000 kepada pemilik kediaman yang memasang sistem solar di bawah kategori Tarif Domestik mulai 2026.
Majlis anjuran Solarvest Holdings Berhad itu menghimpunkan kira-kira 800 peserta terdiri daripada pemimpin kerajaan, pemain industri dan wakil komuniti bagi membincangkan strategi bersama mempercepat peralihan tenaga bersih di Sarawak, seiring Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) dan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Oleh Norman B.