
MIRI: Program Jelajah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13): Jalinan Borneo yang berlangsung di Bahagian Miri hari ini menjadi wadah penting kerajaan mendengar suara rakyat, memahami keperluan komuniti serta merangka pembangunan berasaskan realiti di lapangan.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, program yang dianjurkan Kementerian Ekonomi dengan kerjasama pentadbiran Bahagian Miri itu melibatkan penyertaan dari tiga bahagian iaitu Miri, Limbang dan Bintulu.
“Program Jelajah RMK13 Zon Utara ini melibatkan enam Parlimen dan 10 Dewan Undangan Negeri (DUN). Ia merangkumi kawasan strategik yang kaya dengan kepelbagaian budaya, ekonomi dan sosial yang memerlukan perhatian khusus dalam perancangan pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi dialog bersama komuniti menerusi program tersebut yang berlangsung di tempat letak kenderaan Stadium Miri, di sini hari ini.
Seramai 210 peserta dari Miri, 70 dari Limbang dan 20 dari Bintulu hadir, terdiri daripada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua-ketua jabatan, ketua masyarakat, ketua kaum serta wakil persatuan.
Menurut Lee, platform dialog dua hala itu membolehkan rakyat menyampaikan pandangan, cadangan serta isu-isu utama secara terus kepada agensi kerajaan. Input yang diterima akan menjadi landasan untuk memastikan projek pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Selain itu, sesi dialog ini mengukuhkan kefahaman masyarakat terhadap pelan pembangunan serta mengeratkan kerjasama strategik antara kerajaan dan pihak berkepentingan.
“Dengan penyertaan aktif komuniti, ia akan memastikan pembangunan inklusif tanpa ada golongan yang tercicir,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang jelas mengenai projek pembangunan yang dirancang serta impaknya terhadap rakyat.
Mengulas mengenai projek pembangunan, beliau berkata setakat ini terdapat 221 projek dilaksanakan di bawah RMK, meliputi 99 projek di bawah peruntukan Persekutuan dan 122 projek di bawah peruntukan Negeri.
Antara projek berimpak tinggi di Miri dalam RMK12 lalu termasuk Rancangan Tebatan Banjir Sungai Miri, Projek Rural Growth Centre (RGC) di Long Lama, projek jalan raya Miri–Marudi–Mulu, kerja pengorekan dan pendalaman laluan Kuala Baram Delta, serta beberapa projek lain.
“Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030), Sarawak menyasarkan untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.
‘Pelaksanaan RMK13 akan mempercepatkan pembangunan menyeluruh dan membawa manfaat kepada semua lapisan masyarakat di Zon Utara,” tegasnya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan menekankan bahawa kerjasama serta sokongan berterusan amat penting bagi merealisasikan agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak.
Oleh Liong Chai Ling