
SARIKEI: Penganjuran program Dialog NVP oleh Junior Chamber International (JCI) Sarikei menjadi platform penting dalam memperkasa kepimpinan belia dan meningkatkan kesedaran terhadap peranan generasi muda dalam menyumbang kepada pembangunan mampan melalui penglibatan aktif dalam komuniti.
Menurut JCI Sarikei, program tersebut dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada ahli mengenai perjalanan kepimpinan dalam organisasi di samping memperkukuh kefahaman tentang tanggungjawab belia dalam menyokong pembangunan masyarakat secara berterusan.
“Program ini menampilkan Naib Presiden JCI Malaysia 2026 yang juga Presiden JCI Jalan Tanjung Kidurong 2024, Dax Ting Sie Wee sebagai penceramah jemputan.
“Dengan pengalaman yang luas, beliau berkongsi perjalanan peribadi bagaimana beliau berkembang langkah demi langkah dalam organisasi JCI sehingga menjadi seorang pemimpin, serta memberikan cadangan bernas untuk pembangunan organisasi pada masa hadapan.
“Beliau turut menekankan bahawa pemimpin muda mempunyai tanggungjawab dan peranan untuk menyumbang kepada pembangunan mampan,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.

Tambahnya, Dax Ting turut menjelaskan bagaimana JCI boleh menggalakkan konsep kelestarian melalui khidmat komuniti dan aktiviti alam sekitar.
“Selain itu, beliau juga menggalakkan ahli untuk mengambil tindakan dalam komuniti, mengubah gaya hidup bagi mengurangkan pembaziran, menjaga alam sekitar dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan mampan.
“Program ini turut dihadiri Presiden JCI Sarikei, Wong Siew Wu dan pengerusi penganjur program, Sue Ching.
“Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti JCI Sarikei, orang ramai boleh menghubungi Presiden JCI Sarikei, Wong Siew Wu di talian 019-9228887,” katanya.
Oleh Earl Anek