
KUCHING: Sesi dialog bersama pemegang taruh belia dan sukan menjadi platform penting untuk memahami realiti di lapangan serta memperkukuh pembangunan sektor tersebut di Sarawak.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, tujuan utama beliau menghadiri sesi dialog berkenaan adalah untuk mendengar sendiri pandangan, idea serta suara akar umbi.
Menurut beliau, input daripada golongan tersebut amat penting bagi memastikan setiap program dan inisiatif yang dilaksanakan kekal relevan, menarik serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
“Golongan yang hadir hari ini merupakan wira dan wirawati pembangunan belia dan sukan Sarawak, termasuk ramai yang berkhidmat secara sukarela dengan penuh komitmen dan kecintaan kepada negeri serta negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Dialog Timbalan Menteri Belia dan Sukan bersama pemegang taruh belia dan sukan Sarawak 2026 yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak, hari ini.


Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi tumpuan kepada pembangunan belia secara holistik, melibatkan aspek jati diri, perpaduan, kepimpinan serta kesejahteraan mental dan fizikal.
Katanya, kementerian turut menekankan tiga teras utama iaitu penyertaan inklusif, pembangunan kapasiti serta pengukuhan tadbir urus dalam kalangan organisasi belia dan sukan.
“Setiap belia tanpa mengira latar belakang perlu diberi peluang sama rata, manakala jurulatih, pegawai dan organisasi perlu diperkasa melalui latihan serta pensijilan berterusan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa KBS akan melaksanakan siri jelajah khas ke seluruh negara bagi memperkasakan pembangunan belia dan sukan, khususnya di kawasan luar bandar.
Inisiatif itu, katanya, bertujuan menyampaikan perkhidmatan kerajaan secara terus kepada golongan sasar di samping mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan akses kepada pelbagai program.
Dalam aspek pembangunan belia, beliau menegaskan kepentingan kelab belia sebagai platform membina kepimpinan, memupuk nilai kesukarelawan serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan generasi muda.

“Belia luar bandar juga tidak harus tercicir. Kita komited menyediakan latihan kemahiran, bimbingan keusahawanan dan jaringan industri agar mereka mempunyai peluang sama untuk berjaya,” katanya.
Menyentuh pembangunan sukan, beliau berkata tumpuan turut diberikan kepada pembangunan bakat dari peringkat akar umbi, termasuk di sekolah, kampung dan daerah.
Tambahnya, sokongan kepada jurulatih serta pegawai teknikal akan terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan atlet yang berkualiti dan berdaya saing.
Dalam pada itu, beliau optimis Sarawak berpotensi menjadi hab sukan serantau, apatah lagi dengan pemilihan negeri ini sebagai tuan rumah bersama Sukan SEA 2027.
Menurutnya, penganjuran temasya tersebut merupakan peluang terbaik untuk memperkukuh ekosistem sukan serta melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua kelab belia dan badan sukan agar terus memperkasa program masing-masing, di samping meningkatkan penyertaan serta kualiti organisasi.
Oleh Norman B