Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Di sebalik selesema, kanser nasofarinks sering diambil mudah
  • KESIHATAN

Di sebalik selesema, kanser nasofarinks sering diambil mudah

Utusan Sarawak 6 hours ago

HIDUNG tersumbat berterusan, gejala telinga yang tidak dapat dijelaskan seperti pendengaran tersumbat, telinga berdenging, atau benjolan leher tidak menyakitkan, sering kali dianggap sebagai permasalahan telinga, hidung dan tekak yang biasa, namun pakar perubatan memberikan amaran sesetengah kes, simptom ini mungkin dikaitkan dengan kanser nasofarinks (NPC).

NPC ialah penyakit yang merosot pada bahagian tersembunyi di belakang hidung dan sering hadir dengan tanda awal yang tidak spesifik, dan di Malaysia, kanser nasofarinks satu daripada kanser paling biasa menjejaskan golongan lelaki, dengan kematian berkaitan kanser menyumbang 14.3 peratus daripada semua kematian pada 2024, peningkatan daripada 13.8 peratus berbanding tahun 2023.

Pakar Perunding Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Hafizah Zaharah Ahmad menjelaskan pengesanan awal memainkan peranan penting dalam meningkatkan hasil rawatan, dengan kadar kelangsungan hidup melebihi 90 peratus.

Beliau menekankan bahawa gejala pada mulanya sering diuruskan sebagai sinusitis, alahan atau jangkitan telinga, perlu diberikan perhatian termasuk menjalani pemeriksaan lanjut sekiranya gejala berkenaan terus berlarutan.

Penyakit itu berpunca dari nasofarinks, bahagian yang terletak di belakang hidung dan atas belakang tekak, dan kedudukan anatominya yang mendalam menjadikan tumor awal sukar dikesan ketika pemeriksaan rutin, menyebabkan penyakit itu merosot secara senyap sebelum tanda amaran yang jelas timbul.

“Gejala NPC sering kali menunjukkan corak yang boleh dikenal pasti berdasarkan lokasi dan tahap penyebaran tumor. Gejala seperti hidung tersumbat yang berterusan, pendarahan hidung, atau lelehan cecair mungkin berlaku apabila tumor dikesan di dalam ruang nasofarinks,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Hafizah Zaharah Ahmad

Beliau berkata kehadiran tumor pada tiub Eustachian, salur yang menghubungkan telinga tengah dengan nasofarinks boleh menyebabkan pengumpulan cecair di dalam telinga tengah, dan keadaan ini mengakibatkan kehilangan pendengaran pada sebelah telinga, telinga berasa penuh, berdesing atau sakit telinga; gejala yang lazimnya disalah anggap sebagai keadaan telinga yang biasa.

Dr Hafizah Zaharah berkata apabila penyakit ini merebak ke struktur sekeliling, pesakit mungkin mengalami sakit kepala, penglihatan berganda, atau kebas pada bahagian wajah, manakala benjolan tanpa rasa sakit pada bahagian leher kekal menjadi gejala utama yang sering ditemukan.

Dalam kenyataan sama, Pakar Perunding Telinga, Hidung, Tekak (ENT) serta Pakar Bedah Kepala dan Leher SMCV Dr David Yee Leong Wai menjelaskan bahawa ramai pesakit hanya mendapatkan rawatan perubatan selepas menyedari bengkak pada bahagian leher yang tidak menyakitkan berikutan pembesaran nodus limfa, dan sering diabaikan atau dianggap tidak berbahaya.

Beliau berkata faktor risiko yang dikaitkan dengan NPC termasuk jangkitan virus Epstein Barr, merokok, sejarah keluarga, kerentanan genetik dan diet yang tinggi dalam makanan yang diawet atau bergaram, dan penyakit itu didiagnosis lebih kerap dalam golongan lelaki, terutamanya mereka berumur antara 40 dan 60 tahun dalam kalangan masyarakat Asia.

Dr David Yee Leong Wai

Sehubungan dengan itu, beliau berkata diagnosis yang tepat bergantung kepada proses penilaian dan pemeringkatan yang berstruktur, termasuk prosedur nasoendoskopi digunakan untuk mendapatkan gambaran nasofarinks secara langsung, bersama penggunaan Imbasan Resonan Magnetik (MRI) dan Tomografi Berkomputer (CT)  untuk menilai saiz tumor,selain biopsi untuk pengesahan tisu.

“Biopsi adalah wajib untuk mengesahkan diagnosis dan menentukan jenis kanser. Melalui biopsi, kami dapat melakukan penggredan histologi bagi NPC menggunakan klasifikasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang memainkan peranan penting dalam meramal prognosis dan menentukan hala tuju rawatan,” kata Dr Yee.

 Sementara itu, Dr Hafizah Zaharah menjelaskan bahawa penyakit ini pada peringkat awal mungkin hanya memerlukan rawatan radioterapi sahaja, manakala kes-kes tahap lanjut setempat kelazimannya memerlukan rawatan kemoterapi dan radioterapi secara serentak bagi meningkatkan kawalan terhadap penyakit.

Beliau berkata radioterapi kekal sebagai tunjang utama rawatan memandangkan sifat tumor ini yang sensitif terhadap radiasi. Kemajuan teknologi seperti Radioterapi Keamatan Bermodulasi (IMRT) dan Terapi Arka Volumetrik Bermodulasi (VMAT) membolehkan sasaran tumor dilakukan secara tepat di samping meminimumkan kerosakan pada struktur kritikal di sekelilingnya termasuk batang otak, saraf, dan kelenjar air liur.

Sementara itu, pembedahan pula lazimnya tidak digunakan sebagai rawatan utama, namun memainkan peranan penting dalam kes tertentu, terutamanya bagi penyakit yang berbaki atau berulang selepas radiokemoterapi.

Dengan kemajuan dalam teknik endoskopi kini membolehkan pakar bedah mencapai bahagian nasofarinks melalui rongga hidung, dan teknik ini dapat mengurangkan trauma pembedahan dan menggalakkan pemulihan yang lebih baik serta kualiti hidup pesakit.

“Semasa tempoh rawatan, pesakit mungkin mengalami kesan sampingan seperti keletihan, loya, selera makan berkurangan, tindak balas kulit, dan ulser mulut. Kesan-kesan ini diuruskan melalui ubat-ubatan sokongan, intervensi nutrisi, dan pemantauan rapi, di mana sokongan ahli dietetik memainkan peranan penting dalam mengekalkan kekuatan serta berat badan pesakit.

“Selepas selesai rawatan, pemeriksaan susulan secara berkala dengan pakar ENT dan pakar onkologi adalah sangat penting bagi memantau pemulihan serta mengesan sebarang pengulangan penyakit pada peringkat awal,” katanya. – Bernama

Continue Reading

Previous: KKM batal notifikasi produk kosmetik beracun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.