CHINA berada di ambang kegagalan layak ke pusingan akhir Piala Dunia FIFA Qatar 2022 walaupun meraih keputusan seri 1-1 dengan Australia kelmarin di Stadium Thani Bin Jassim, Doha.
Jaringan pada minit ke-38 Mitchell Duke kelihatan seperti telah mengakibatkan kuasa ekonomi dunia itu mengalami kekalahan keempat mereka dalam enam perlawanan dalam Kumpulan B, namun sepakan penalti lewat Wu Lei membantu mereka memperoleh satu mata penambah semangat di Stadium Sharjah di Emiriah Arab Bersatu.
Bagaimanapun, China hanya berada di atas Vietnam dengan hanya lima mata dan kini berdepan tugas yang hampir mustahil untuk kembali ke landasan betul dalam kumpulan yang turut merangkumi gergasi bola sepak Asia, Arab Saudi dan Jepun.
Hanya dua negara teratas daripada setiap dua kumpulan akan menempah tiket automatik ke Piala Dunia 2022, dengan kemungkinan negara kelima mendapat tempat melalui ‘play-off’ melibatkan pasukan di tempat ketiga.
Terdahulu, Arab Saudi mengenepikan Vietnam 1-0 di Hanoi untuk kemenangan kelima mereka dalam enam perlawanan untuk mendahului Jepun dengan empat mata dan meletakkan sebelah kaki ke pusingan akhir.
Jepun juga meningkatkan harapan mereka dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Oman yang meletakkan mereka di atas Australia di tempat kedua dengan 12 mata.
Sementara itu, Korea Selatan menewaskan Iraq 3-0 dan UAE menyingkirkan Lubnan 1-0 dalam Kumpulan A yang mana pendahulu Iran menguasai kumpulan setelah menewaskan Syria 3-0.
Lee Jae-sung meletakkan Korea di depan di Doha pada minit ke-33 sebelum bintang Tottenham, Son Heung-min dan Jeong Woo-yeong meletakkan keputusan itu tanpa keraguan.
Sardar Azmoun, Ehsan Hajsafi dan Ali Gholizadeh menjaringkan gol untuk Iran yang kini mengumpul 16 mata daripada enam perlawanan.
Korea Selatan berada di tangga kedua dengan 14 mata dengan UAE menduduki tempat ketiga dengan enam mata dengan satu-satunya kemenangan mereka dalam fasa terakhir kelayakan setakat ini. – AFP