KUALA LUMPUR: Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) perlu dinilai melangkaui prestasi kewangan mereka, dengan kajian turut ditumpukan kepada mandat yang telah berjaya mereka sampaikan.
Ketua Pegawai Operasi SME Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) Khairil Anuar Mohamad Anuar berkata, DFI berperanan untuk memacu agenda kerajaan seperti merangsang ekonomi sesebuah negara.
“Garis panduan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kepada DFI dalam menilai prestasi mereka bukan sahaja berdasarkan kewangan tetapi juga mandat mereka.
“Kami mengambil profil risiko yang lebih tinggi berbanding dengan bank komersil kerana kami perlu meneroka bidang pertumbuhan baharu, jadi, daripada segi pengukuran prestasi, ia sebenarnya berada di luar indeks prestasi utama kewangan,” katanya semasa Forum Dalam Talian DFI Global semalam.
Beliau memberi contoh kejayaan DFI dalam merangsang pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sehingga berjaya mewujudkan pekerjaan baharu termasuk membantu mereka meneroka pasaran eksport dan penggunaan teknologi.
“Semua ini adalah parameter baharu yang telah dilihat oleh bank pusat dan Kementerian Kewangan untuk menilai prestasi DFI dalam menjalankan peranan mandat mereka,” katanya.
Ketidakpastian yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 menjadi ujian yang sebenar bagi pihak bank untuk melihat tahap kesediaan mereka dalam mengendalikan cabaran terutamanya daripada segi pengurusan krisis.
“Sebagai agensi yang melaksanakan agenda serta mandat kerajaan, kami perlu memainkan peranan yang lebih luas untuk menyokong ekonomi,” katanya.
Beliau menyatakan DFI perlu diselaraskan dengan kematangan ekonomi negara masing-masing memandangkan mereka telah ditubuhkan bagi melaksanakan agenda khusus sesebuah negara.
“DFI di Jerman mungkin berbeza dengan DFI di Malaysia, dan DFI di Singapura adalah tidak sama dengan di Kemboja daripada segi peranan masing-masing,” katanya.
DFI di Malaysia mempunyai ekosistem yang kukuh dan menerima sokongan kerajaan, ia turut disokong daripada segi pembiayaan.
“Pengawal selia sedang mencari peraturan baharu untuk mentadbir DFI membabitkan jenis keperluan tertentu daripada segi penghantaran.
“Kami mempunyai beberapa perbincangan dengan DFI dan kementerian berkenaan bidang yang boleh dipertingkatkan atau disesuaikan bagi membantu DFI dalam melaksanakan mandat mereka,” kata beliau lagi.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata penyertaan daripada peserta swasta juga harus dipertingkatkan.
Beliau ketika memetik contoh skim jaminan kredit berkata DFI telah mengambil profil risiko yang lebih tinggi untuk menjalankan serta menaja jamin perniagaan tertentu, oleh itu, penyertaan dan kerjasama daripada peserta swasta perlu dibentuk.
“Di Malaysia, urusan mengambil dan mengimbangi risiko banyak dipikul oleh kerajaan. Jadi, bagi tujuan melengkapkan keseluruhan ekosistem, syarikat swasta perlu memperkenalkan produk yang lebih baik untuk menampung risiko kredit, langkah ini adalah lebih bersesuaian memandangkan beban itu dikongsi antara sektor swasta dan awam,” katanya.
Bagi membolehkan DFI berkembang, keperluan untuk mewujudkan lebih banyak bakat juga perlu dipertimbangkan, kata Khairil Anuar.
“DFI sentiasa bersedia untuk menyokong kerajaan dan ekonomi tetapi kami juga memerlukan bakat yang baik dalam pasaran, khususnya perniagaan hari ini sudah mula berubah susulan pandemik Covid-19.
“Pendigitalan semakin berkembang dalam pasaran. Jadi kami memerlukan bakat yang mampu memahami bagaimana untuk menangani perniagaan digital dan hukum yang terkait dengan teknologi maya. Ini adalah bidang yang saya rasa mampu mendorong DFI ke tahap selanjutnya,” kata beliau lagi.- Bernama