
KAPIT: Pembangunan pendidikan dan pengukuhan perpaduan masyarakat terus menjadi keutamaan kerajaan negeri apabila Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan (SK) Kapit dirasmikan dalam satu majlis yang turut disertai dengan Makan Malam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat yang merasmikan majlis berkenaan berkata, kewujudan dewan tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada warga sekolah, malah menjadi ruang serba guna untuk komuniti setempat melaksanakan pelbagai aktiviti.
“Kemudahan tersebut bukan sahaja akan dimanfaatkan oleh warga sekolah melalui pelbagai program pendidikan, kebudayaan, sukan dan keagamaan, malah turut memberi faedah kepada komuniti setempat,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pendedahan awal dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memastikan generasi muda Kapit bersedia bersaing di peringkat global.
Selain itu, beliau menggesa agar usaha membanteras isu buli di sekolah diperkasakan secara bersama demi menjamin persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.
Dalam ucapannya, Datuk Jefferson turut mengumumkan peruntukan RM30,000 daripada Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk kegunaan PIBG melaksanakan aktiviti sekolah.
Majlis yang dihadiri lebih 250 tetamu itu turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh guru serta tarian ngajat oleh murid SK Kapit.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Kapit, Robert Liman Deli, Pegawai Daerah Kapit, Cerisologo Sabut, Guru Besar SK Kapit, John Rimbar dan Yang Dipertua PIBG SK Kapit, Merdeka Sangai. -UKAS