KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2021 yang mendapat sokongan lebihan suara.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan kelulusan RUU itu yang telah dibahaskan oleh 15 Ahli Parlimen semalam dan disusuli dengan bacaan kali kedua dan ketiga semalam.
Timbalan Menteri I, Kewangan Datuk Mohd Shahar Abdullah telah membentangkan RUU tersebut pada 9 November lepas bagi bacaan kali pertama yang turut melibatkan pindaan ke atas lapan akta dalam usaha melaksanakan Bajet 2022.
Ini melibatkan Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, Akta Penggalakan Pelaburan 1986, Akta Kewangan 2012 dan Akta Kewangan 2018.
Ketika menggulung perbahasan RUU itu semalam, Mohd Shahar berkata, Kementerian Kewangan komited dalam memastikan akta ini tidak memberi kesan negatif kepada rakyat melalui pelan pelaksanaan lebih telus dengan hasil tambahan itu dapat disalurkan kepada program pemulihan negara.
Malah katanya, aspek berkaitan penarikan pengecualian sumber pendapatan asing itu telah diteliti dengan kajian berkaitan turut dibuat sejak dua tahun lepas.
Menurutnya, ini melibatkan sesi libat urus Kementerian Kewangan dengan pihak berkaitan termasuk penyediaan kertas konsep oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri selain menerima pandangan menyeluruh daripada pelbagai pihak berkepentingan.
“Kementerian Kewangan juga perlu mengambil kira penglibatan dan komitmen di peringkat antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dan Kesatuan Eropah (EU) dalam menetapkan dasar percukaian semasa.
“Kita juga kekal terbuka menerima segala pandangan, termasuk menubuhkan sebuah pasukan petugas melibatkan kementerian ini, agensi kutipan cukai dan pakar percukaian yang mewakili pelbagai industri bagi membincangkan mekanisme ke arah memastikan pelaksanaannya secara lancar pada Januari 2022,” katanya.- Bernama