Dewan Rakyat: KKDW tegaskan tiada projek Sabah, Sarawak ditangguhkan berikutan krisis Selat Hormuz

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi jaminan bahawa tiada projek infrastruktur kritikal luar bandar di Sabah dan Sarawak ditangguhkan susulan penstrukturan semula bajet kerajaan yang dibuat berikutan krisis Selat Hormuz.

Jaminan itu diberikan dalam jawapan lisan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di Dewan Rakyat semalam bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu, semalam.

Dr. Richard meminta kementerian menyatakan projek-projek infrastruktur kritikal luar bandar yang ditangguhkan akibat penstrukturan bajet susulan krisis Selat Hormuz serta jaminan bahawa langkah penjajaran semula itu tidak akan melambatkan pelaksanaan projek infrastruktur dan utiliti asas di Sabah dan Sarawak.

AHLI Parlimen Betong…Dato Dr. Richard Rapu. Foto: Parlimen Malaysia

Menurut kementerian, susulan ketidaktentuan ekonomi global termasuk kenaikan harga minyak dan kos barangan akibat penutupan Selat Hormuz, semua kementerian diminta menyelaras semula keutamaan pelaksanaan projek serta mengenal pasti projek yang boleh ditangguhkan.

Bagaimanapun, hasil semakan terhadap 1,689 projek pembangunan yang diluluskan bagi tahun 2026 mendapati tiada projek infrastruktur melibatkan Sabah dan Sarawak yang ditangguhkan.

Kementerian turut menegaskan komitmennya untuk memastikan pelaksanaan projek pembangunan luar bandar di kedua-dua negeri itu diteruskan mengikut perancangan tanpa menjejaskan garis masa yang telah ditetapkan.

Menurut kementerian lagi, perancangan pembangunan desa dan wilayah akan terus dilaksanakan secara inklusif bagi memenuhi keperluan serta kehendak rakyat, selaras dengan visi ‘Luar Bandar Sejahtera’ yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar.

Jawapan itu dijangka memberi kelegaan kepada penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak yang bergantung kepada pelaksanaan projek infrastruktur serta kemudahan utiliti asas bagi meningkatkan kualiti hidup dan merancakkan pembangunan setempat.

Oleh Adi Safarman