
SARIKEI: Kunjungan hormat rombongan Dewan Perniagaan Cina Sandakan ke daerah ini disambut mesra dalam usaha mengukuhkan hubungan dua hala serta membuka ruang kerjasama perdagangan antara kedua-dua pihak.
Rombongan yang diketuai Presiden Dewan Perniagaan Cina Sandakan, Chia Hock Ak melibatkan seramai 10 ahli jawatankuasa.
Mereka diraikan dalam satu jamuan tengah hari anjuran Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii semalam.
Tiong Sii yang diwakili oleh Penghulu Huang Tiong Kang, berkata lawatan seumpama ini berperanan penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama ekonomi antara Sarikei dan Sandakan.
Katanya, menerusi hubungan baik tersebut, kedua-dua pihak dapat berkongsi pengalaman, memperluas peluang perniagaan dan mengeratkan silaturahim antara komuniti perniagaan di Sarikei dan Sandakan, Sabah.
Turut hadir ialah Setiausaha Dewan Perniagaan Cina Sarikei, Kapitan Law Ing Liong.
Oleh Earl Anek