Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Dewan Negara lulus RUU Antibuli 2025
  • NASIONAL

Dewan Negara lulus RUU Antibuli 2025

Utusan Sarawak 10 hours ago
DATUK Seri Azalina Othman Said pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Antibuli 2025 yang diluluskan Dewan Negara hari ini akan memastikan kementerian yang bertanggungjawab ke atas pelajar di bawah umur 18 tahun melaksanakan garis panduan mengenai buli di premis sekolah masing-masing bagi membendung kes itu secara total.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kementerian itu termasuk Kementerian Pendidikan (KPM) yang menjaga hal ehwal semua sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah swasta, serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Turut terlibat Kementerian Pertahanan yang mengendalikan Maktab Tentera Diraja (MTD) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menguruskan Sekolah Henry Gurney.

“Kempat-empat institusi ini dan menteri bertanggungjawab kena melaksanakan tanggungjawab yang disebut sebagai guideline (garis panduan) dengan menjadikan ia sebahagian daripada undang-undang.

“Ini saya tengok satu pendekatan yang baik, sebab (selepas ini) tidak boleh lagi mana-mana sekolah rendah, sekolah menengah atau pun sekolah swasta mengatakan mereka tidak tahu mempunyai tanggungjawab itu,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan yang diluluskan dengan majoriti suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 27 senator.

Beliau berkata penggubalan RUU itu juga membolehkan semua pihak berkenaan mengambil laporan walaupun kes buli itu adalah terpencil.

“Kalau institusi pendidikan tidak mengambil apa-apa laporan, sama ada kecil sekalipun, dia melanggar undang-undang. Itu sebenarnya yang dimaksudkan dalam RUU ini,” katanya.

Sementara itu, Dewan Negara turut meluluskan dua RUU berkaitan pembangunan kemahiran negara di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), iaitu RUU Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 dan RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad ketika membentangkan bacaan kali kedua RUU Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) berkata pindaan itu tidak akan menjejaskan atau menyebabkan pertindanan pengiktirafan kemahiran kepada pekerja mahir tempatan dengan kelayakan akademik sedia ada.

“Kita telah mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Pendidikan Tinggi, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pendidikan Tinggi bagi memastikan tiada pertindanan pengiktirafan kemahiran, sebaliknya mengekalkan kesepadanan dan keseragaman dengan kelayakan akademik sedia ada.

“Pindaan ini bukan sekadar melibatkan perubahan perundangan sebaliknya satu transformasi nasional ke arah sistem latihan kemahiran lebih inklusif, progresif dan berimpak tinggi selaras keperluan pasaran pekerjaan yang semakin dinamik dan berteknologi terkini,” katanya.

Beliau turut menegaskan latihan kemahiran negara adalah berasaskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang dibangunkan daripada analisis pekerjaan sebenar industri dan bukan bersifat teori semata-mata, manakala penilaian kebolehpasaran graduan turut mengambil kira kesepadanan pekerjaan dan tahap gaji melalui kajian pengesanan graduan serta data caruman PERKESO.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 bertujuan meminda Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 (Akta 640) bagi meluaskan skop pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Beliau berkata ini kerana akta itu tidak pernah dilakukan sebarang pindaan sejak pewartaan pada 31 Disember 2004 sebelum dikuatkuasakan Januari 2006.

Antara teras utama pindaan adalah perluasan skop pinjaman latihan kemahiran dan bantuan kewangan kepada program latihan lain yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) serta pemantapan tadbir urus melalui proses kelulusan, pengurusan dan kawalan bantuan kewangan lebih telus.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok. – Bernama

Continue Reading

Previous: Mustapha Sakmud terajui hal ehwal Sabah dan Sarawak
Next: Mordi Bimol terima pelantikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan dengan penuh amanah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.