SIMANGGANG: Dewan Komuniti Taman Harmoni dijangka berfungsi sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) yang kedua di sini pada Rabu ini, iaitu 23 Jun.
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata, pembukaan PKRC tersebut disahkan oleh pihak Jabatan Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sri Aman setelah mendapat pandangan daripada pihak hospital di sini.
“PKRC ini dibuka setelah kapasiti penggunaan PKRC pertama yang terletak di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman sudah mencecah antara 95 hingga 100 peratus semenjak sebulan lepas.
“Apabila mula berfungsi kelak, maka PKRC kedua di Dewan Komuniti Taman Harmoni ini dijangka dapat menampung seramai 100 pesakit Covid-19 bagi kawasan Bahagian Sri Aman,” kata beliau.
Harden, ketika melakukan lawatan terhadap PKRC kedua tersebut pada Ahad lepas menyuarakan rasa bersyukur terhadap kerjasama yang diberikan oleh semua agensi terlibat membaik pulih dan menaik taraf Dewan Komuniti Taman Harmoni itu sebelum ini.
Katanya, kejayaan membaik pulih dan menaik taraf dewan tersebut bagi tujuan pembukaan PKRC dalam masa singkat, secara tidak langsung membuktikan wujud input penjawat awam yang baik di kawasan ini.
“Kita sejak dari mula sudah bertungkus-lumus menggerakkan agensi kerajaan bagi tujuan itu, di samping membuat tempahan kelengkapan yang diperlukan berdasarkan khidmat nasihat Pengarah Hospital Sri Aman yang lebih mengetahui pengoperasian PKRC.
“Justeru, diharapkan PKRC baharu berkenaan dapat beroperasi dengan lancar demi merawat semua pesakit Covid-19 tanpa mengira latar belakang politik dan kedudukan masing-masing sepanjang tempoh sukar ini nanti,” kata beliau.
Terdahulu, satu upacara simbolik penyerahan kunci PKRC Dewan Komuniti Taman Harmoni telah berlangsung di luar perkarangan pusat berkenaan bersempena lawatan Harden ke situ.
Penyerahan kunci itu dilakukan oleh wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman, Nurul Ain Razali kepada Pengerusi JK Pengurusan Dewan, KK Ahmad Alwi Kipli yang kemudiannya menyerahkan kunci tersebut kepada Timbalan Pengarah Hospital Sri Aman, Dr Sim Poh Ling.
Hadir sama dalam lawatan berkenaan ialah Residen Bahagian Sri Aman merangkap Pengerusi JPBB Sri Aman, Indit Bangai.
Oleh VALENTINE NGUMBANG