Sebut sahaja Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC), pasti tempat tersebut bukanlah sesuatu yang asing lagi bagi warga tempatan.
Dewan ini bukan sekadar dewan biasa tetapi mempunyai ciri-ciri reka bentuk Melayu moden dan dilengkapi dengan kelengkapan seperti ruang pejabat, bilik mesyuarat, bilik seminar, bilik rehat VIP, Bilik Solat dan gelanggang badminton.
Ruang utama dewan juga boleh memuatkan lebih kurang 1,400 orang dalam sesuatu masa atau majlis.
Dewan ini telah dikendalikan oleh Kelab MUC yang merupakan kelab tertua di Sarawak dan bergiat aktif sejak ditubuhkan pada tahun 1934 sehingga sekarang.
Terletak di Jalan Jasmin, Bandong di sini yang tidak jauh dari pusat bandar Sibu menjadikan dewan ini amat mudah untuk dikunjungi.
Dewan MUC ini juga amat sinonim dengan majlis perkahwinan kerana memiliki dewan yang sangat luas dan cantik.
Sehubungan itu, dewan ini merupakan kawasan paling digemari masyarakat Sibu untuk mengadakan majlis perkahwinan.
Hampir setiap minggu pasti ada sahaja pasangan mempelai yang memilih Dewan MUC untuk dijadikan sebagai tempat majlis persandingan.
Selain itu, Dewan MUC turut terkenal sebagai tempat untuk menjamu selera yang beroperasi setiap hari bermula 6 petang hingga ke 11 malam.
Lebih dari 10 buah gerai yang terletak di bahagian depan dewan menyajikan variasi makanan tempatan yang menjadi pilihan penduduk setempat mahupun dari luar.
Selain itu, pelbagai majlis rasmi seperti seminar, mesyuarat dan sebagainya dianjurkan oleh badan berkanun, syarikat swasta dan persatuan-persatuan turut diadakan di Dewan MUC ini.
Menyedari pelbagai potensi yang ada pada dewan ini, Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee telah mengambil inisiatif untuk menaik taraf dewan terbabit.
Projek naik taraf Dewan MUC menerusi peruntukan RM1 juta daripada Kerajaan Sarawak memberi manfaat besar kepada penduduk bandar Sibu, khususnya kepada masyarakat Melayu Islam di sini.
Menurut Dr Annuar, projek naik taraf ini memberi keselesaan yang lebih baik kepada pengunjung dan orang ramai.
“Pembinaan semula Dewan MUC ini melibatkan bahagian dalaman yang bertujuan menceriakan lagi suasana dewan, dan menambah baik sistem pendawaian.
“Selain itu, ruang di dalam dewan turut dibesarkan lagi agar dapat memuatkan kira-kira 100 meja berbanding hanya 60 meja pada masa ini.
“Dengan adanya pengubahsuaian dewan ini, ia akan nampak lebih moden, ceria dan lebih sesuai untuk mengadakan majlis persandingan,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka ini yakin bahawa gerai-gerai yang ada di hadapan dewan ini mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk datang.
“Saya yakin, ia secara tidak langsung dapat membantu membangunkan ekonomi masyarakat Bumiputera di sini, yang mana merupakan salah satu tempat lokasi tumpuan di bandar Sibu,” ujarnya.
Sementara itu, bersempena dengan English Primier League (EPL) 2020, Dr Annuar telah menyumbang LCD Projector kepada pihak Kelab MUC baru-baru ini.
LCD Projector ini akan disiarkan untuk tontonan pengunjung-pengunjung yang datang ke Taman Selera MUC dan menyiarkan Live Streaming pada satu-satu masa sekaligus menjadikan Taman Selera MUC sebagai tempat tarikan makan malam kepada pengunjung yang datang.
Oleh Nurzilla Mohamad