
BEKENU: Dewan Kampung Jengalas akan dinaik taraf dengan lantai dinaikkan setinggi satu meter selepas kawasan itu dikenal pasti berisiko banjir.
Kerja naik taraf itu akan melibatkan kos kira-kira RM300,000 dan dilaksanakan oleh sebuah kontraktor tempatan yang dipilih menerusi undian.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, dewan tersebut sebelum ini dibina terus di atas tanah kerana tidak pernah mengalami banjir selama lebih 40 tahun.
“Kos projek meningkat berikutan keperluan kerja piling bagi menyokong struktur lantai baharu,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di Dewan Kampung Jengalas pagi tadi.

Beliau yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu turut meninjau projek naik taraf Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Subis bernilai RM200,000 serta Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Bekenu bernilai RM150,000 yang dilaksanakan secara gotong-royong oleh Jawatankuasa Keselamatan, Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Majelin dan Kampung Jengalas.
Katanya, ini merupakan langkah memperkasa JKKK untuk melaksanakan projek yang memberi manfaat kepada rakyat di kawasan masing-masing.
“Pendekatan tersebut bukan sahaja memperkasa komuniti setempat, malah berpotensi menjimatkan perbelanjaan kerajaan dengan pelaksanaan projek dipantau serta dibimbing secara teknikal oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kesemua projek berkenaan diberi tempoh siap enam bulan dan dijangka siap menjelang Julai depan, tertakluk kepada keadaan cuaca sekali gus meningkatkan keselesaan warga emas di PAWE serta peserta PDK,” jelasnya.
Hadir sama ialah Penghulu Ahmad Zaini, Penghulu Masta Dris dan pegawai JKR Miri.
Oleh Adum Liu