MIRI: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berpuas hati dengan perkembangan projek pembinaan Dewan Bandaraya Miri di Marina ParkCity di sini.
“Saya difahamkan projek ini diakhir jadual dan dijangka siap suku pertama tahun depan, sepatutnya akhir tahun ini tetapi disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia lewat tiga bulan.
“Ini adalah satu-satunya projek rakyat dan kita membangunkan Dewan Bandaraya Miri yang menjadi satu bangunan yang bukan sahaja melambangkan perpaduan masyakarat di Miri tetapi juga untuk menambah baik perkhidmatan yang diberi kepada masyarakat Miri.
“Selain itu, ia menjadi satu bangunan ikonik yang melambangkan pembangunan begitu pesat di bandaraya Miri sebagai Bandaraya Peranginan,” katanya kepada media selepas mengadakan tinjauan dan memantau perkembangan projek berkenaan, semalam.
Hadir sama, bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting dan Datuk Majlis Bandaraya Miri (MBM), Adam Yii.
Projek pembinaan dewan baharu MBM yang bernilai RM92 juta itu diumumkan Abang Johari semasa Sambutan Hari Bandar Raya , Miri ke-13 pada Julai 2018.
Projek pembinaan dewan tersebut yang mengadap Laut Cina Selatan, akan menempatkan menara setinggi sembilan tingkat berbentuk tong drum, pelantar persiaran atau taman bertingkat, ruang legar di pintu masuk, parkir kereta separa bertingkat, bilik acara atau persidangan, dewan teater, kantin dan surau.
Selain itu, reka bentuknya yang menggabungkan elemen Indeks Bangunan Hijau seperti penggunaan tenaga dan air yang cekap, jaminan kualiti alam sekitar, perancangan dan pengurusan tapak yang mampan, penggunaan bahan dan sumber yang efisien dan reka bentuk yang inovatif turut menggalakkan kelestarian dalam persekitaran yang dibina.
Abang Johari berkata, apabila siap kelak, dewan baharu itu akan menyediakan perkhidmatan pintar selaras dengan visi menjadikan bandar raya itu sebagai bandar pintar.
Katanya, bangunan dewan itu akan disambung dengan semua perkhidmatan di bawah MBM menerusi perhubungan pintar.
“Misalnya, perkhidmatan bas akan dilengkapi dengan peranti canggih dan ia dapat dikesan termasuk perkhidmatan lain seperti kutipan sampah yang akan dihubungkan dengan pusat kawalan di bangunan berkenaan.
“Sempena Hari Sarawak, saya mengucapkan tahniah kepada orang Miri kerana mempunyai bangunan pintar dan orang Miri pun akan menjadi pintar,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling