Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Detik peristiwa berdarah di Sibu
  • KOLUMNIS

Detik peristiwa berdarah di Sibu

Utusan Sarawak 5 hours ago

TUJUH puluh lima tahun lepas pada bulan ini berlaku satu peristiwa penting dalam sejarah Sarawak.

Lebih tepat lagi adalah pada 3 Disember 1949 apabila berlakunya penikaman Gabenor British di Sarawak iaitu Duncan Stewart di Sibu.

Duncan Stewart yang merupakan gabenor baharu Sarawak yang hanya beberapa hari sahaja menjawat jawatan tersebut telah meninggal dunia selepas usaha menyelamatkan nyawanya gagal.

Bagaimana peristiwa berdarah ini bermula?

Mengimbas kembali tentang kejadian ini, ia bermula dengan langkah British menjadikan Sarawak sebagai tanah jajahan.

Hal ini dibantah oleh sebahagian besar orang Melayu dan mendapat sokongan daripada orang Iban di Kuching.

Mereka membantah kerana mahu mengekalkan kemerdekaan Sarawak seperti sebelum Perang Dunia Kedua.

ROSLI Dhoby ketika ditahan pihak polis

Namun Raja Vyner Brooke tidak menghiraukan perkara ini dan bersetuju untuk menyerahkan Sarawak kepada British dengan alasan tidak mampu memulihkan Sarawak selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.  

Tindakan ini mengejutkan penduduk Sarawak. Ada yang reda dengan perkara ini, dan ada pula tidak bersetuju.

Pihak British pula menggunakan semua ruang undang-undang yang ada untuk mengesahkan pengambilan Sarawak sebagai sebuah koloni baharu.

Bantahan

Tindakan British ini menimbulkan bantahan daripada Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) dan Sarawak Dayak Association (SDA). 

Datu Patinggi Abang Abdillah menjadi pemimpin utama memperjuangkan status quo Sarawak harus dikembalikan.

Selain dua pertubuhan awal yang menentang British menjadikan Sarawak sebagai koloni, terdapat beberapa lagi pertubuhan lain yang mempunyai motif sama. 

Salah satu daripadanya adalah Pergerakan Pemuda Melayu (PPM) yang berpusat di Sibu.Pengaruhnya amat meluas sehingga ke seluruh Bahagian Ketiga (Sibu) ketika itu.

Perjuangan PPM ini agak berbeza dengan PKMS mahupun SDA. Ini kerana PPM tidak dapat melihat perjuangan secara perlembagaan itu mampu untuk mengembalikan status quo Sarawak sebelum Perang Dunia Kedua.

Jauh daripada itu, terdapat sekumpulan golongan muda dan pertengahan usia dalam PPM cuba mengerakkan agenda dan taktik lebih agresif ke atas British dan pegawai-pegawainya. 

DUNCAN Stewart (kanan) dan Rosli Dhoby.

Anak-anak muda ini melihat British acuh tidak acuh sahaja dengan tuntutan mereka yang dibuat secara perlembagaan.

Baharu

Anak-anak muda ini kemudiannya membentuk satu kumpulan kecil dikenali sebagai Rukun Tiga Belas, pada pertengahan 1948. 

Permulaan kepada kewujudan Rukun Tiga Belas bermula dengan perjumpaan sekumpulan anak muda dan pertengahan usia di rumah milik Dr. Majoribank di Jalan Cross, Sibu.

Tambek Adon yang ditugaskan oleh oleh Dr. Majoribank menjaga rumah beliau yang kosong telah membenarkan permintaan untuk mengadakan mesyuarat sulit. 

Mesyuarat sulit ini dihadiri oleh beberapa pemimpin muda dan pertengahan usia. Antara mereka yang hadir adalah Awang Ramli Deli, Abang Han Ahmad, Bujang Suntong, Morsidi Lee, Abang Ahmad Abang Abu Bakar, Osman Dollah, Osman Mohamad dan Tambek Adon.

Dalam mesyuarat sulit tersebut, mereka melihat perjuangan PPM belum lagi mencapai apa-apa hasil.

Malah usaha mereka selama ini termasuk menghantar surat bantahan kepada Setiausaha Tanah Jajahan di London dan juga kepada ejen British di Sarawak menampakkan kegagalan kerana tidak dilayan oleh kerajaan British. 

Oleh itu mereka berbincang tentang apakah usaha perlu dilakukan oleh mereka untuk mencapai kemerdekaan Sarawak.

Mereka akhirnya mengambil tindakan lebih drastik dengan merancang untuk melakukan pembunuhan ke atas Gabenor Sarawak.

Malahan ada juga perancangan untuk melakukan perkara sama ke atas pegawai-pegawai British. Namun tumpuan utama mereka adalah kepada Gabenor Sarawak.

Tugas

Dalam melaksanakan tugas ini, Awang Ramli mencadangkan seorang anak muda bernama Rosli Dhoby untuk tujuan tersebut.

Pada pendapat beliau, Rosli Dhoby seorang anak muda yang berusia remaja dan tidak akan menerima hukuman berat.

Bagi Awang Ramli tindakan memasang poster tidak lagi berkesan dan menyatakan tindakan ini terlalu kecil. 

Beliau memberi perumpamaan tindakan sebelum ini umpama menunggu hujan mas jatuh ke bumi.

Perancangan mereka ini sungguh rapi.

Mereka mengetahui pergerakan Gabenor Sarawak yang akan melakukan lawatan di Sibu. Akhirnya hari ditunggu-tunggu tiba apabila Gabenor Sarawak kedua iaitu Duncan Stewart melakukan lawatan pengenalan ke Sibu.

Ditikam

Seperti biasa lawatan orang kenamaan seperti Gabenor Sarawak ini disambut dengan perbarisan hormat. Beliau pada awalnya memeriksa perbarisan anggota polis. 

Kemudiannya beliau bersama-sama dengan Residen Bahagian ketiga, J. C. Barcroft bertemu dengan ketua-ketua masyarakat sebelum berjalan menuju perbarisan kanak-kanak sekolah yang menyambut beliau.

Apabila beliau hampir memasuki bangunan kerajaan, Rosli Dhoby muncul dengan membawa senjata dan menikam bahagian perut beliau.

Seorang lagi yang memegang kamera cuba melakukan perkara sama tetapi berjaya dihalang oleh Setiausaha Peribadi Gabenor. Stewart kemudiannya dikejarkanke hospital dan seterusnya dihantar ke Singapura.

Mengikut laporan akhbar-akhbar dari Singapura, budak yang dinyatakan menikam Gabenor Sarawak itu hanya berumur 16 tahun.

Rosli Dhoby kemudiannya ditahan oleh pihak polis. Beberapa lagi rakan beliau juga telah ditangkap dan ditahan oleh pihak polis.

Perbicaraan

Mereka ini kemudiannya dibicarakan di mahkamah. Perbicaraan ini berakhir dan mendapati Rosli Dhoby dan beberapa rakannya bersalah atas kes pembunuhan gabenor tersebut.  

Beliau dan tiga lagi yang lain telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, manakala beberapa lagi pemimpin Rukun Tiga Belas pula telah ditangkap dan dipenjarakan.

Peristiwa berdarah di Sibu ini mencerminkan rasa kekecewaan pejuang muda tentang dasar British yang tidak mahu melayan tuntutan mereka, malah memperkecilkan usaha mereka untuk memerdekakan Sarawak.

Peristiwa ini akhirnya menyebabkan gerakan anti-penyerahan beransur-ansur lemah dan akhirnya tidak lagi aktif. 

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Peristiwa pesawat JetBlue menampakkan betapa kompleksnya dunia penerbangan moden

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.