
MIRI: Seorang wanita warga emas bersama menantunya melalui detik cemas apabila rumah yang mereka diami di Kampung Masjid, Kuala Baram roboh dalam kejadian petang semalam.
Kejadian yang berlaku sekitar 3.30 petang itu dilaporkan tiada kecederaan dialami oleh mangsa.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan telah mengesahkan menerima laporan polis berhubung insiden itu.
Katanya pada 9.22 malam, Balai Polis Lutong ada menerima satu laporan daripada seorang wanita, Rohani Hasim, 69, yang menyatakan rumahnya di Kampung Masjid, Kuala Baram telah roboh.
“Kejadian itu berpunca daripada tiang rumah yang diperbuat daripada kayu telah usang dan reput, ditambah kawasan itu adalah kawasan berpaya air masin dan rendah serta sering dinaiki air pasang,” katanya.

Tambahnya, semasa kejadian hanya mangsa dan menantu berusia lingkungan 30an berada di rumah namun kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Hasil pemantauan, terdapat beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan (KKM), Tabung Baitulmal Miri dan lain-lain telah menghulur bantuan kepada mangsa.
“Jumlah kerugian yang dialami mangsa dianggarkan RM30,000,” katanya.
Beliau turut menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.
Oleh Adum Liu