KUCHING: Bumbung sebuah pangsapuri yang diterbangkan angin kencang ketika ribut petang ini menghempap rumah jurugambar The Borneo Post, Chimon Upon, di Tabuan Dayak.
Namun, kejadian itu berakhir dengan kelegaan apabila ibu mentuanya dan anak lelakinya yang berada di dalam rumah tidak mengalami kecederaan dan selamat keluar dari kediaman berkenaan.
Kejadian itu menyebabkan sebahagian bumbung rumah rosak dan berlubang, selain bekalan elektrik terputus, manakala kepingan logam serta rangka binaan bertaburan di sekitar kediaman.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng, yang turun padang meninjau keadaan rumah berkenaan menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang tidak dijangka, sambil melahirkan rasa syukur kerana tiada siapa yang terkena bumbung yang jatuh.
Beliau berkata, pihaknya turut menerima laporan mengenai dua lagi bumbung yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang ini.
“Ini perkara yang agak sukar dijangka. Kita bercakap mengenai perubahan iklim, angin kencang, jerebu dan cuaca panas, kemudian tiba-tiba hujan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Wee turut menyeru masyarakat supaya tidak sekadar menyalahkan mana-mana pihak apabila berlaku kejadian seperti itu, sebaliknya mengemukakan cadangan yang membina atau membantu mangsa sekiranya mempunyai kemampuan dan pengetahuan.
“Kalau kita tidak dapat membantu, lihat sahaja dan jangan menambah keadaan. Tetapi kalau kita boleh membantu, bantulah kerana itulah semangat Sarawak yang saya harapkan,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah




