
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik menyifatkan Sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Peter Saratok sebagai satu detik bersejarah yang amat bermakna kepada masyarakat setempat, khususnya dalam memperingati sumbangan besar sekolah itu dalam bidang pendidikan sejak penubuhannya pada 1925.
Beliau berkata, sambutan tersebut bukan sahaja bertujuan meraikan ulang tahun penubuhan sekolah berkenaan, malah sebagai penghargaan terhadap peranan SK Saint Peter dalam melahirkan ramai modal insan berilmu dan berwibawa yang telah menyumbang kepada pembangunan Saratok hingga ke hari ini.
“Malam ini saya bersama lebih seribu tetamu lain berkesempatan menghadiri Majlis Makan Malam sempena Sambutan 100 Tahun SK Saint Peter Saratok. Penganjuran majlis ini amat bermakna kerana ia mengimbau sejarah dan kejayaan sekolah ini sepanjang tempoh satu abad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Sambutan 100 Tahun SK Saint Peter yang berlangsung di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Syn Saratok, malam tadi.
Dalam majlis tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada 21 bekas Guru Besar yang pernah berkhidmat di SK Saint Peter, termasuk lima orang yang hadir memeriahkan majlis berkenaan, selain jasa serta sumbangan para alumni sekolah itu yang kini berkhidmat di pelbagai sektor di dalam dan luar negara.
Friday turut berharap agar SK Saint Peter terus mencatat kejayaan pada masa hadapan serta kekal menjadi institusi pendidikan unggul dalam melahirkan pelajar cemerlang, sekali gus meneruskan legasi sebagai ‘The Beacon of Knowledge’ untuk masyarakat Saratok bagi tempoh 100 tahun akan datang.

Dalam pada itu, ADUN Kalaka, Mohamad Duri menyifatkan SK Saint Peter, Saratok sebagai antara institusi pendidikan mubaligh tertua dan bersejarah di Daerah Saratok, sejak penubuhannya pada 1925.
Menurut beliau, kewujudan SK Saint Peter Saratok selama satu abad membuktikan peranan penting sekolah tersebut dalam membangunkan pendidikan serta membentuk jati diri masyarakat setempat, khususnya di kawasan Saratok dan sekitarnya.
Beliau berkata, sekolah yang masih tersergam indah sehingga ke hari ini telah melahirkan ramai tokoh berbakat dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan, pentadbiran, perkhidmatan awam dan sektor profesional lain.
“Ramai anak didik SK Saint Peter Saratok kini kembali berbakti di bumi Saratok, menyumbang tenaga dan kepakaran demi pembangunan masyarakat dan daerah ini,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamad Duri merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh warga SK Saint Peter Saratok atas kejayaan mengekalkan kecemerlangan sekolah tersebut sepanjang 100 tahun penubuhannya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas jemputan kepada beliau serta Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka untuk bersama-sama meraikan detik bersejarah dan penuh bermakna sempena sambutan 100 Tahun SK Saint Peter Saratok, yang disifatkan sebagai simbol legasi pendidikan di Sarawak.
Oleh Adi Safarman