
BAGI peminat setia drama bersiri kepolisan Gerak Khas, sebut sahaja ‘Detektif Lingam’ pastinya mengingatkan mereka kepada seorang anggota keselamatan negara yang tegas dan berkarisma dalam membanteras jenayah.
Watak ikonik itu dilakonkan oleh Deen Maidin, atau nama sebenarnya Shamsuddin Maidin, 60, berpengalaman lebih dua dekad menerusi pelbagai drama dan filem khususnya terbitan Skop Productions.
Namun, di sebalik pengalaman luasnya dalam industri seni, Deen tidak kekok mengusahakan kembali perniagaan lemang bersama-sama dengan tiga rakannya bersempena dengan Ramadan dan Aidilfitri yang menjelang tiba.

Terletak di Taman Putra Ampang dekat sini, Deen berkata gerai dinamakan Lemang Gerak Khas itu dibuka kira-kira lima hari lepas dan ‘kemunculan semula’ gerai lemangnya berlaku secara spontan selepas hampir tujuh tahun berehat daripada menjual juadah tradisi tersebut.
“Saya pernah membuka gerai lemang di Bandar Baru Ampang sebelum ini, tetapi selepas pandemik COVID-19 saya lebih fokus pada kerja hakiki sebagai penyelia bangunan serta berlakon. Tambahan pula, faktor usia membuatkan saya berehat seketika daripada berniaga,” katanya kepada Bernama.
“Namun, dorongan daripada rakan-rakan serta permintaan peminat di media sosial membuatkan saya tergerak hati untuk berniaga semula. Kurang daripada seminggu selepas berbincang, alhamdulillah kami terus membuka gerai selepas lesen berniaga diluluskan,” tambahnya.
Meskipun tidak mempunyai kepakaran dalam memasak lemang pada awalnya, beliau berkata tunjuk ajar seorang rakan yang dikenali sebagai ‘Babe’ membolehkannya memahiri pembuatan juadah itu.
“Ada yang menyangka kami rebus lemang, tetapi sebenarnya kami masak cara tradisional menggunakan bara api. Cabaran utama ialah memastikan api sentiasa stabil supaya lemang masak dengan sempurna.
“Dari segi kualiti pula, kami telah melalui beberapa fasa percubaan. Hari pertama termasin, hari kedua kurang lemak. Jadi, kami menukar bahan dan mencari pembekal yang lebih baik sehingga berjaya mendapatkan rasa yang benar-benar memuaskan,” katanya.
Selain itu, Deen turut menekankan aspek disiplin dalam perniagaan lemangnya. Lebih-lebih lagi kerana perniagaan tersebut menggunakan nama Gerak Khas, sebuah drama popular arahan Datuk Yusof Haslam, pengarah yang tidak perlu diperkenalkan lagi.
“Sebelum lemang ini dijual, saya akan pastikan lemang ini diuji, termasuk menghantar kepada Datuk (Yusof) untuk beliau rasa dan beri pendapat.
“Saya selalu ingat pesan Datuk, kalau nak jual sesuatu, pastikan yang terbaik. Nama Gerak Khas itu besar, jadi saya nak orang makan sesuatu yang sedap dan puas hati,” katanya.
Selain lemang yang dijual pada harga RM16 hingga RM22 mengikut saiz, gerai Lemang Gerak Khas yang dibuka seawal 5.00 petang itu juga menawarkan rendang ayam dan daging, masing-masing berharga RM12 bagi 200 gram manakala serondeng RM10 bagi 150 gram.
Sementara itu, menyentuh dunia lakonan, Deen yang memiliki tiga orang anak dan tiga cucu, berkata beliau masih menerima banyak tawaran berlakon dan akan terlibat dengan aktiviti seni itu selagi khidmatnya masih diperlukan. – Bernama