
PETALING JAYA: Watak Detektif Lim dalam drama bersiri fenomena ‘Gerak Khas’ sememangnya cukup ikonik, namun di sebalik kemasyhuran itu, pelakonnya Farid Amirul Hisham Wu Abdullah mendedahkan realiti pahit yang terpaksa ditelan segelintir artis veteran dalam industri seni tanah air.
Farid Amirul, 61, mendakwa beliau pernah ditawarkan bayaran yang dianggap “tidak masuk akal”, iaitu hanya RM500 bagi tempoh penggambaran selama lima hari yang melibatkan 38 babak.
Katanya tawaran tersebut diterima sekitar tahun lepas bagi sebuah produksi yang memerlukan beliau menjayakan watak seorang sifu tarian singa dengan penggambaran di Kuala Kangsar, Perak.
“Sarapan dan makan malam disediakan, makan tengah hari tiada. Penginapan pula satu bilik dikongsi empat orang. Apabila saya tanya tentang bayaran, mereka kata hanya RM500 termasuk tol dan minyak,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada artis veteran oleh Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), di sini malam tadi.
Farid menyifatkan kadar RM500 untuk tempoh tersebut hanya menyamai RM100 sehari, sekali gus menimbulkan persoalan akan nilai yang diletakkan pada pelakon berpengalaman sepertinya.
“Saya bukanlah pelakon besar, bukan macam Zul Ariffin atau Beto Kusyairy, tapi berpada-padalah. RM500 untuk lima hari dengan 38 babak, itu sebenarnya kadar untuk pelakon tambahan,” katanya yang memilih untuk menolak tawaran tersebut bagi menjaga nilai pasaran industri.
Pada masa sama, beliau mengakui landskap industri hiburan kini turut berubah apabila faktor populariti di media sosial sering menjadi antara pertimbangan penerbit dalam memilih pelakon bagi sesuatu produksi, berbanding pendekatan sebelum ini yang lebih menitikberatkan pengalaman dan kebolehan lakonan.
“Saya rasa sekarang ini selera industri mungkin lebih kepada ‘influencer’… maksudnya berapa banyak pengikut di media sosial. Saya pula tidak begitu aktif (sosial media), walaupun ada (akaun) tapi tak adalah nak buat ‘live’ setiap hari,” ujarnya.
Sementara itu, Farid yang mula dikenali menerusi drama Gerak Khas, berkata beliau sebenarnya tidak pernah terikat secara tetap dengan Skop Productions, sebaliknya bekerja berdasarkan kontrak bagi projek tertentu.
Lebih sedekad sinonim dengan siri ‘Gerak Khas’, beliau berharap akan diberi peluang membawakan watak lebih mencabar pada masa akan datang bagi mengelakkan diri daripada terus dibelenggu watak stereotaip.
“Selalunya watak yang ditawarkan kepada saya ialah polis atau watak Cina, komunis, Jepun dan sebagainya. Saya sebenarnya suka watak yang lebih mencabar emosi, yang boleh keluarkan lebih banyak nuansa dalam lakonan,” katanya yang turut mempunyai pekerjaan tetap di sebuah syarikat pembekal karpet sejak 2022. – Bernama