
KUALA LUMPUR: Desakan agar diperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas semakin meningkat bagi menginstitusikan hak, perlindungan dan kebajikan golongan itu sejajar dengan peralihan Malaysia ke arah negara menua menjelang 2030.
Ahli Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara Tan Sri Lee Lam Thye berkata menjelang 2030, sebanyak 15 peratus daripada jumlah penduduk negara dijangka berusia 60 tahun ke atas dan oleh itu, penggubalan undang-undang khusus untuk warga emas adalah bukan sahaja wajar, malah amat diperlukan bagi memastikan mereka dilayan dengan penuh maruah, hormat dan adil dalam semua aspek kehidupan bermasyarakat.
“Sudah tiba masanya Malaysia mengambil langkah berani dengan memperkenalkan Rang Undang-Undang Warga Emas di Parlimen. Usaha ini akan memberikan mesej jelas bahawa negara berdiri teguh bersama golongan warga emasnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lee turut menekankan perubahan demografi yang ketara hasil jangka hayat yang semakin panjang dan kadar kelahiran yang menurun, justeru menuntut kepada kerangka perundangan yang menyeluruh bagi menangani keperluan sosial, ekonomi dan penjagaan kesihatan penduduk berusia di negara ini.
Beliau juga menegaskan pentingnya perlindungan hak dan maruah warga emas, jaminan akses kepada penjagaan kesihatan dan sokongan sosial, pengukuhan keselamatan ekonomi, pengiktirafan serta keterangkuman, selain penyelarasan dasar sedia ada di bawah struktur perundangan yang boleh dikuatkuasakan.
Lee berkata RUU yang dicadangkan itu bertujuan untuk mengiktiraf secara rasmi hak-hak warga emas serta mempromosikan kesejahteraan menyeluruh mereka melalui penjagaan kesihatan yang tersusun, sokongan sosial dan perlindungan undang-undang.
“RUU ini turut berhasrat menggalakkan penglibatan aktif warga emas dalam masyarakat menerusi pembelajaran sepanjang hayat dan penyediaan perkhidmatan mesra usia, selain memastikan kebertanggungjawaban kerajaan menerusi penubuhan sebuah suruhanjaya khas bagi memantau pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata undang-undang itu juga akan menyediakan mekanisme jelas bagi menangani isu penderaan, pengabaian dan diskriminasi terhadap warga emas, di samping memperkukuh keselamatan ekonomi melalui penambahbaikan skim persaraan, pencen sosial serta peluang pekerjaan yang inklusif.– Bernama