RASANYA sudah tiga kali penulis mencoretkan isu berkaitan gaji pemain dan pegawai dalam pasukan Sarawak United FC untuk musim ini.
Dan yang terbaharu kes ini seakan-akan ‘meletup’ apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melahirkan perasaan tidak senang hati dengan insiden berkenaan.
Ia dinyatakan oleh Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika perkara berkenaan telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Sarawak baru-baru ini.
“Bukan sahaja saya, malah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga tidak senang hati apabila mendapat tahu isu ini.
“Perkara ini telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Sarawak. Sekiranya ada gaji yang perlu dibayar, pihak pengurusan seharusnya membayar gaji mereka seperti pekerja lain termasuk pemotongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya,” kata Abdul Karim.
Jelas beliau, adalah diharapkan pihak terbabit berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah ini kerana tidak mahu para pemain dipinggirkan.
“Saya akan mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan badan dan persatuan serta pemain bagi mengetahui situasi sebenar dan mencari jalan penyelesaian,” tegasnya lagi.
Sebelum ini, beberapa pemain Sarawak United FC mendakwa tidak dibayar gaji selama empat bulan sehingga menyebabkan segelintir daripada mereka terpaksa keluar dari kediaman masing-masing.
Perkara ini telah mendapat perhatian Persatuan Pemain Bola sepak Profesional Malaysia (PFAM) sekali gus akan membawa isu tersebut ke peringkat Majlis Penyelesaian Pertikaian Kebangsaan (NDRC).
Dalam masa sama, PFAM turut mengesahkan menerima laporan isu tunggakan gaji yang berlarutan hampir empat bulan membabitkan beberapa pemain.
Lebih jelas lagi, pemain tengah Boris Kok juga akhirnya membuka mulut mengenai isu tersebut selepas kehilangannya menjadi tanda tanya sejak awal bulan lalu.
Menurut Boris, keadaan sememangnya susah buat semua pemain walaupun mereka bersikap profesional dalam setiap perlawanan dengan memberikan yang terbaik.
“Tiada duit untuk bayar rumah, bayar makanan, bayar duit kereta dan menyediakan kelengkapan keluarga.
“Semua pemain sengsara tetapi kami tidak beritahu kepada media kerana sayangkan SUFC dan penyokongnya.
“Kami sudah bersabar kerana kelab berjanji untuk membayar (gaji) sejak tiga bulan lalu setiap kali perlawanan selesai namun akhirnya tak kunjung tiba dan situasi bertambah buruk,” katanya.
Mengulas lanjut, Boris berkata situasinya berbeza kerana kelab memberinya masa selama dua minggu pada Julai untuk ke Perancis kerana kelahiran anaknya.
Jelasnya, semasa di Perancis selepas tiga bulan tidak dibayar gaji, dia boleh membatalkan kontrak dengan undang-undang FIFA dan pulang semula ke Kemboja kerana dia dipinjamkan.
“Pengurusan kelab berbincang dan saya buat keputusan untuk memberi peluang kerana hormat kepada penyokong SUFC.
“Sejak perlawanan dengan Kedah, mereka berjanji untuk membayar tiket penerbangan pulang bagi menyertai perlawanan dengan JDT, Penang FC, Terengganu FC dan PJ City.
“Malangnya, mereka tidak berbuat apa-apa dan memberitahu yang saya boleh terus berada di Perancis sehingga masalah saya boleh diselesaikan,” katanya.
Tambah Boris, buat masa sekarang, Presiden kelab berjanji akan menyelesaikan masalah ini dalam masa dua minggu dan dia berharap perkara itu dapat dikotakan demi masa depan pasukan.
Malah, PFAM menerusi kenyataan minggu lepas turut memaklumkan berdasarkan laporan itu pihaknya telah mengeluarkan notis kepada pasukan terbabit untuk tuntutan tunggakan pemain terlibat yang membuat aduan pada 16 Jun lepas.
Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa notis susulan telah diberikan kepada Sarawak United pada 8 Julai lepas.
“Walaupun telah menerima maklum balas daripada pihak pasukan bagi melunaskan tunggakan gaji tersebut namun sehingga kini, tunggakan masih belum dijelaskan sepenuhnya.
“Lebih mendukacitakan pada Jun lepas, para pemain terpaksa berhadapan dengan situasi menerima notis bagi mengosongkan tempat penginapan mereka kerana bayaran sewa tidak dilunaskan oleh pihak kelab berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Memetik kenyataan itu, PFAM menasihati agar pihak pengurusan kelab sewajarnya memberikan fokus penuh dalam menjalankan tanggungjawab mereka bagi mengelakkan hukuman berat dikenakan terhadap pasukan itu.
“PFAM memandang serius tentang isu tunggakan gaji pemain dan akan membawa perkara ini ke peringkat Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.
Jelas, apa yang diharapkan semoga penantian gaji pemain dan pegawai SUFC selama empat bulan akan dapat diselasaikan dalam beberapa hari mendatang ini kerana itulah harapan utama mereka.
Kepada pengurusan SUFC, pastikan nama baik Sarawak tetap dijaga apatah lagi dalam sukan yang memiliki ramai penyokong dan peminat di seantero dunia.