

BETONG: Seorang lelaki berusia 20 tahun yang dikhuatiri lemas selepas bot laju yang diuji karam di Ulu Sungai Skrang, dekat sini petang tadi, masih belum dijumpai setakat operasi ditangguhkan malam ini.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.12 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan ke lokasi.
Pasukan bomba yang diketuai Komander Operasi, Yusof Tamin, tiba di lokasi kejadian pada 4.45 petang selepas menempuh perjalanan sejauh 21 kilometer.
Mangsa dikenali sebagai Denickles Lesen, 20, setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan esok.
Menurut saksi di lokasi, kejadian berlaku sekitar 3.51 petang ketika mangsa menjalankan aktiviti ujian bot laju.
Bot yang diuji dipercayai karam sebelum mangsa dilihat terkapai-kapai di permukaan air dan kemudian hilang dari pandangan.
Sejurus menerima maklumat, pasukan bomba menjalankan pencarian awal secara ‘surface water searching’ dengan memberi tumpuan di kawasan permukaan air sekitar lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
Operasi turut dibantu bot milik penduduk kampung bagi memperluaskan radius pencarian.
Seramai lima anggota BBP Betong termasuk empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terlibat dalam operasi itu dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan pacuan emapt roda dan sebuah bot penyelamat.
Operasi turut melibatkan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Bagaimanapun, pada 7.15 malam, operasi SAR terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan gelap serta faktor keselamatan, dan akan disambung semula pada keesokan hari.
Oleh Adi Safarman