YANGON: Penunjuk perasaan anti-kudeta Myanmar berjanji memberi tekanan lebih besar hari ini ketika rejim junta meningkatkan tindakan kerasnya susulan serbuan terbaru semalam, menyasar pegawai daripada parti politik Aung San Suu Kyi.
Myanmar berdepan huru-hara sejak tentera menggulingkan Suu Kyi dari tampuk pemerintahan 1 Februari lalu, sehingga mencetuskan pemberontakan besar-besaran bagi menentang rejim junta.
Rabu lalu dianggap hari paling menyedihkan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh ketika pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah orang ramai sehingga menembak beberapa penunjuk perasaan di kepala.
Pejabat hak asasi PBB mengesahkan, sekurang-kurangnya 54 kematian sejak rampasan kuasa biarpun jumlah sebenarnya jauh lebih tinggi, sementara lebih 1,700 individu ditahan.
Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi mengesahkan beberapa pegawai ditahan dalam serbuan semalam.
“Benar pegawai NLD ditahan, namun kami tidak dapat pastikan dengan tepat berapa ramai yang ditahan,” kata pegawai parti itu, Soe Win.
Ahli Parlimen NLD, Sithu Maung menyatakan di Facebooknya, pasukan keselamatan semalam turut menjejaki pegawai maklumat parti itu, U Maung Maung di rumahnya namun tidak menemuinya.
“Saudara U Maung Maung dipukul polis dan tentera. Dia ditahan dan diseksa disebabkan tiada siapa dapat ditahan,” katanya.
Aktivis berpangkalan di Yangon, Maung Saungkha memastikan demonstrasi diselaraskan di beberapa bandar dan wilayah hari ini sebagai sebahagian mogok umum selama dua hari.
“Kami rela mati untuk negara. Situasi sekarang lebih buruk (daripada rejim masa lalu). Oleh itu, adakah kita terus berada dalam keadaan ini atau kita berjuang?.
“Kali ini kita mesti berjuang untuk menang. Kami percaya bahawa berjuang bersama generasi muda akan membawa kita kemenangan,” katanya.
Semalam, media pro kerajaan mengumumkan mana-mana penjawat awam yang terus memboikot pekerjaan akan dipecat segera mulai esok.
Junta mendesak bank untuk dibuka semula esok, namun penunjuk perasaan menegaskan mereka akan terus menentang pihak berkuasa untuk tempoh dua hari akan datang. – AFP