
KUCHING: Setiausaha Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) Sarawak, George Lam, menyuarakan kebimbangan terhadap kenyataan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) baru-baru ini, sambil menggesa parti itu agar memberi perhatian kepada isu-isu yang dibangkitkan rakyat, bukannya menolak atau memperlekehkannya.
Menurut Lam, kritikan dan persoalan yang dikemukakan oleh pembangkang serta masyarakat umum merupakan elemen penting dalam sebuah demokrasi yang sihat, dan tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada kestabilan politik.
“Dengan menguasai 80 daripada 82 kerusi di Dewan Undangan Negeri, GPS dan SUPP memiliki kuasa yang lebih daripada mencukupi untuk meluluskan apa-apa rang undang-undang.
“Oleh itu, menyalahkan pembangkang yang hanya mempunyai dua kerusi adalah tidak wajar dan seolah-olah cuba mengelak tanggungjawab sebenar,” tegasnya.
Lam turut mempersoalkan ketelusan dalam proses kelulusan bajet perjalanan berjumlah RM100 juta baru-baru ini, yang menurutnya diluluskan dengan perbahasan yang sangat minimum dan tanpa penelitian dalaman yang sewajarnya.
Pada masa sama, Lam juga menyorot isu ketiadaan wakil pembangkang dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang didakwa tidak menjalankan sebarang siasatan sejak tiga tahun lalu.
“DAP akan terus memainkan peranan kami dalam mempersoalkan dasar serta penggunaan dana awam. Ini adalah tanggungjawab kami terhadap rakyat,” tambah Lam.
Beliau menyeru SUPP agar mengambil pendekatan yang lebih konstruktif dengan memberikan respons terhadap isu-isu yang dibangkitkan, bukannya sekadar menuding jari kepada lawan politik.
Oleh Connie Chieng