LONDON: Penyokong Liverpool mengkritik pemilik kelab, Fenway Sports Group (FSG) di media sosial susulan kenyataan Mohamed Salah yang menyatakan tiada “kemajuan” dalam perbincangan lanjutan kontraknya.
Pemain berusia 32 tahun itu kini bebas berbincang dengan kelab lain menjelang musim panas, kerana kontraknya hanya berbaki kurang daripada enam bulan
Salah adalah salah seorang daripada tiga pemain utama Liverpool, bersama-sama Trent Alexander-Arnold dan Virgil van Dijk, yang kontraknya akan tamat pada penghujung musim ini.
Menurut Football Insider, Salah secara prinsip sudah mencapai persetujuan dengan Liverpool mengenai lanjutan kontrak, tetapi perjanjian penuh masih belum dimuktamadkan.
Dalam wawancara bersama Sky Sports, bintang Mesir itu mendedahkan musim ini kemungkinan besar akan menjadi “musim terakhirnya di kelab”, apabila menyatakan kurangnya kemajuan dalam rundingan kontrak, dengan kedua-dua pihak masih “jauh” daripada mencapai kata sepakat.
Salah berada pada prestasi terbaik musim ini, menjaringkan 20 gol dan mencatatkan 17 bantuan gol dalam hanya 26 perlawanan di semua pertandingan.
Dia dilihat berada di landasan terbaik untuk mencapai musim terbaiknya bersama kelab.
Pasukan Liverpool kendalian Arne Slot kini berada enam mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kurang satu perlawanan berbanding Arsenal di tempat kedua.
Walaupun rundingan kontrak masih berjalan, ramai penyokong kecewa dengan cara menguruskan situasi Salah.
Seorang penyokong melabelkan FSG sebagai “memalukan” manakala seorang lagi menyifatkan proses yang berpanjangan itu sebagai “melampau”.
Pengarah sukan, Richard Hughes juga menerima kritikan, dengan seorang penyokong menyifatkannya sebagai “kegagalan sepenuhnya” atas peranannya perbincangan kontrak pemain itu.