
KUALA LUMPUR: Delegasi Sarawak hari ini menyertai Persidangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen (PAC Parlimen) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Dewan Undangan Negeri (PAC DUN) Se-Malaysia yang berlangsung di ibu negara.
Delegasi Sarawak diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Akaun Awam Sarawak, Dato Razaili Gapor, bersama Ahli-ahli Jawatankuasa iaitu Dato Mohd Chee Kadir, Wilson Nyabong Ijang, Dato Ir. Lo Khere Chiang, See Chee How dan Dato Miro Simuh.
Turut hadir dalam persidangan tersebut adalah Setiausaha Jawatankuasa Akaun Awam Sarawak, Nur Azhar Bujang, bersama Ex-Officio yang terdiri daripada Pengarah Unit Pentadbiran, Rusmaliza Mat Darus; Pengarah Unit Audit Dalam, Jeferi Darhman serta Pengarah Jabatan Audit Negara Negeri Sarawak, Saiful Anuar Mohd Jaafar.
Persidangan yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul, memberi ruang kepada delegasi Sarawak untuk terlibat secara aktif dalam sesi perbincangan.

Topik yang dibincangkan termasuk punca kuasa dan fungsi PAC, perkongsian amalan terbaik, cabaran pelaksanaan PAC negeri, serta dialog berkaitan audit dan ketelusan kewangan awam.
Penyertaan delegasi Sarawak dalam persidangan ini menunjukkan komitmen berterusan negeri dalam memperkukuh peranan Jawatankuasa Akaun Awam sebagai mekanisme semak dan imbang yang berkesan, selaras dengan prinsip akauntabiliti, ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan awam.
Persidangan juga memberi peluang kepada semua negeri untuk berkongsi pengalaman dan cabaran masing-masing dalam melaksanakan tanggungjawab PAC, sekali gus membolehkan pengukuhan amalan terbaik di peringkat nasional.
Beberapa resolusi penting telah dicapai sepanjang persidangan, antaranya memperkukuh peranan Sekretariat PAC, menambah baik tadbir urus, serta memastikan maklum balas menyeluruh daripada pihak eksekutif terhadap laporan PAC.
Selain itu, persidangan bersetuju agar sesi seumpama ini diadakan secara berkala sekurang-kurangnya setiap dua tahun sekali bagi memastikan keberkesanan dan kesinambungan peranan PAC di seluruh negara.
Oleh Adi Safarman