
BARCELONA: Delegasi Sarawak diketuai Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah telah mengadakan lawatan teknikal ke FC Barcelona bagi mempelajari integrasi sukan, budaya dan pelancongan di Catalonia.
Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata, lawatan itu memberikan pandangan berharga mengenai bagaimana sebuah institusi sukan boleh memacu pembangunan budaya, memupuk semangat komuniti serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
“Sukan menyatukan masyarakat. Sepertimana Barcelona melambangkan identiti Catalonia, sukan di Sarawak juga menjadi medium penyatuan masyarakat majmuk negeri ini.
“Tenaga dan kreativiti golongan belia adalah aset masa depan kita. Potensi mereka perlu digilap melalui penyertaan dalam bidang sukan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Tambahnya, Sarawak berhasrat menjadi negeri sukan terulung di Malaysia melalui usaha berterusan memperkasa prasarana sukan serta menggalakkan penyertaan belia menerusi inisiatif seperti program Sarawak X-TIVE yang menekankan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat.
Lawatan ke FC Barcelona itu merupakan sebahagian daripada Lawatan Kerja Rasmi Sarawak ke Sepanyol sempena penyertaan Sarawak dalam Kongres Majlis Arkib Antarabangsa (ICA) 2025 di Barcelona, yang turut merangkumi sesi libat urus dengan institusi utama Catalonia dalam bidang budaya, pelancongan dan industri kreatif.
Delegasi turut menerima taklimat daripada Pengarah Bahagian Perniagaan Baharu FC Barcelona, Cèsar Martínez, yang menjelaskan mengenai operasi kelab dan projek pembinaan semula Stadium Spotify Camp Nou yang dijadual siap pada akhir 2026.
Turut hadir Timbalan Menteri MTCP Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Dr Ripin Lamat, Setiausaha Tetap Datu Sherrina Hussaini dan Morshidi Fredrick, Ketua Pegawai Eksekutif Business Events Sarawak Amelia Roziman, Datu Dr Rashidah Bolhassan serta pegawai kanan daripada kedua-dua kementerian.