
BANGKOK: Delegasi Malaysia meneruskan lawatan penanda aras hari ini ke beberapa lokasi pertandingan sekitar Bangkok bagi meninjau kesiapsiagaan Thailand selaku tuan rumah Sukan SEA 2025.
Lawatan melibatkan wakil Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) serta delegasi Sarawak, Johor dan Pulau Pinang dengan fokus terhadap standard fasiliti, pengurusan kejohanan dan kesesuaian lokasi pertandingan.
Di bawah penyelarasan Pihak Berkuasa Sukan Thailand (SAT),delegasi dibahagikan mengikut kluster sukan bagi melakukan penilaian khusus di setiap lokasi.
Bagi kumpulan Sarawak, lokasi pertandingan yang dilawati adalah bagi acara Akuatik (Renang) di Swimming Pool, SAT, memanah di Football Field 1, SAT dan menembak (Rifle) di Shooting Range, SAT.
Delegasi Sarawak juga mengadakan lawatan ke Pusat Sukan Sea bagi meninjai ruang kerja Sekretariat Sukan Sea Thailand 2025.
Delegasi Sarawak diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Morshidi Frederick, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Nur Alina Abdullah@Colliner Gohe, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak, Khairul Nizam Morshidi dan wakil setiap jawatankuasa pelaksana kerajaan Sarawak bagi Sukan SEA 2027.
Bagi kumpulan Johor, delegasi ke Bang Kapi bagi lokasi pertandingan Bola Sepak di Rajamangala National Stadium. Selain itu, delegasi ini turut ke Bang Bo bagi meninjau operasi padang dan fasiliti pertandingan Ekuestrian (Polo) di VS Sports Club/Siam Polo Park.
Bagi Kumpulan MASOC dan Pulau Pinang, delegasi ini ke Bang Kapi bagi meninjau lokasi pertandingan berbasikal di Hua Mark Velodrome.
Delegasi kemudian melawat ke Pathum Wan bagi lokasi pertandingan tinju di Universiti Chulalongkorn.
Kumpulan Pulau Pinang turut melawat Bang Yai bagi meninjau lokasi pertadningan Ping Pong (Table Tennis) di Central Westgate/Westgate Hall.
Lawatan ke setiap lokasi pertandingan ini bertujuan memberi pendedahan langsung kepada delegasi Malaysia mengenai standard fasiliti dan pengoperasian lokasi pertandingan bertaraf antarabangsa, sekali gus membantu negara membuat persediaan rapi menjelang penganjuran Sukan SEA 2027 di Malaysia.
Untuk rekod, Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember depan, mempertandingkan 50 jenis sukan.
-UKAS