Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Dekorasi merah ceriakan SK Kampung Bahagia Jaya, semarakkan muhibah Tahun Baharu Cina
  • Tengah
  • WILAYAH

Dekorasi merah ceriakan SK Kampung Bahagia Jaya, semarakkan muhibah Tahun Baharu Cina

Utusan Sarawak 4 hours ago
HIASAN Tahun Baharu Cina yang menarik serta menghidupkan lagi suasana sekolah SK Kampung Bahagia Jaya di Sibu.

SIBU: Bahang Tahun Baharu Cina semakin dirasai apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia Jaya di sini tampil dengan sentuhan dekorasi merah yang memukau, sekali gus menyemarakkan semangat muhibah dalam kalangan warga sekolah.

Persekitaran sekolah berubah wajah dengan hiasan tanglung, kaligrafi Cina dan potongan kertas tradisional yang bukan sahaja menceriakan suasana, malah mencetuskan rasa teruja dalam kalangan murid.

Kelas-kelas turut dihias kreatif, menonjolkan elemen budaya yang kaya dengan simbolik kemakmuran dan tuah.

Inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada persediaan Majlis Sambutan Praperayaan Tahun Baharu Cina peringkat sekolah yang diadakan baru-baru ini.

 HAMDI Nadji (tiga dari kiri) menggaul ‘yee sang’ sebagai simbolik perasmian Sambutan Praperayaan Tahun Baharu Cina peringkat sekolah yang diadakan baru-baru ini.

Menurut pengerusi jawatankuasa program tersebut, Lam Kah Soon, sambutan praperayaan yang dianjurkan buat julung kali itu membawa makna besar kepada usaha memperkukuh perpaduan.

“Kami mahu hiasan dan program yang diadakan menjadi medium pembelajaran tidak formal.

“Murid bukan sahaja melihat keindahan budaya, tetapi memahami nilai di sebaliknya seperti kebersamaan, hormat dan toleransi,” katanya.

UNTUK ALBUM...Warga SK Kampung Bahagia Jaya merakam kenangan bersama pada Majlis Sambutan Praperayaan Tahun Baharu Cina peringkat sekolah yang diadakan baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung meriah itu diisi dengan pelbagai pengisian menarik seperti nyanyian berkumpulan dan persembahan tarian tradisional masyarakat Cina.

Penyampaian sijil pertandingan keceriaan kelas turut menjadi kemuncak, sebagai penghargaan terhadap kreativiti dan kerjasama murid.

Sementara itu, Guru Besarnya, Hamdi Najdi menegaskan bahawa pendekatan tersebut selari dengan peranan sekolah sebagai tapak menyemai nilai murni.

“Sambutan ini bukan sekadar meraikan warga sekolah berbangsa Cina, tetapi membuka ruang kepada semua murid mengenali dan menghargai kepelbagaian adat resam di Malaysia.

“Pada masa yang sama, kami tekankan nilai kebersihan dan keindahan persekitaran,” ujarnya.

Beliau berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan sebagai tradisi tahunan, sekali gus menjadikan sekolah bukan sahaja pusat akademik, tetapi juga medan memupuk keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk.

Oleh Tarani Lanting

Continue Reading

Previous: Yusuf gesa perkukuh perpaduan sempena sambutan Tahun Baharu Cina
Next: Pembayaran RM1.8 bilion pengambilalihan Pelabuhan Bintulu tidak merendahkan hak Sarawak di bawah MA63

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.