
PETRA JAYA: Bujang Boji Sitam dan Haji Khidir Nusi dipilih secara sebulat suara sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Dewan Ekonomi Melayu Sarawak (DEKOMS) bagi tempoh 2025 hingga 2027 pada Mesyuarat Agung ke-5 yang berlangsung di Hanna Sofiya, Jalan Astana, di sini, Ahad lalu.
Turut terpilih ialah empat Naib Presiden iaitu Ikeram Yan (Naib Presiden 1), Hussein Abdullah (Naib Presiden 2), Mohd. Kushaini Goli (Naib Presiden 3) dan Rubiah Amit (Naib Presiden 4).
Lapan Ahli Majlis tertinggi yang turut terpilih pada mesyuarat agong itu ialah Fatimah Razali, Dayang Nporsiah Awang Sohor, Mohd. Ishak Sarkawi, Awang Hasnan Awang Abd. Rahman, Othman Yusuf dan Dr, Ishak Johari.
Mesyuarat itu juga melantik Masmanis Mohd. Yusuf sebagai Setiausaha Agung, dibantu oleh Jumatia Hamdan sebagai Penolong Setiausaha Agung. Mohamad Abdullah kekal meneruskan peranannya sebagai Bendahari, manakala dua Juruudit yang dilantik ialah Hairani Shafiee dan Dayang Tetty Erma Abang Zainoren.
DEKOMS, yang ditubuhkan pada 2020 sebelum penularan COVID-19, kini mempunyai lebih 3,000 ahli berdaftar, kebanyakannya terdiri daripada penjaja kecil di seluruh Sarawak, dengan sekitar 12 jawatankuasa perhubungan di seluruh negeri.
Ketika penularan COVID-19, DEKOMS memainkan peranan penting membantu kerajaan negeri dalam melaksanakan program bantuan kepada rakyat sepanjang pandemik tersebut.
Wakil-wakil DEKOMS juga dijemput untuk mengemukakan saranan dan cadangan bantuan bagi membantu rakyat pada masa itu.
Peranan yang dimainkan oleh DEKOMS telah berjaya diadaptasi dan dijadikan asas pelaksanaan beberapa langkah oleh kerajaan negeri dalam program bantuan kepada rakyat.
Sementara itu, ketika menyampaikan ucapannya pada mesyuarat tersebut, Bujang Boji Sitam mengingatkan ahli-ahlinya supaya terus memberikan kerjasama kepada Ahli Majlis Tertinggi DEKOMS dalam usaha memperkasakan pembangunan ekonomi untuk ahli-ahlinya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ahli-ahli yang berhasrat mendapatkan pinjaman kewangan daripada institusi kewangan agar memastikan semua dokumentasi yang diperlukan lengkap supaya permohonan mudah dipertimbangkan oleh pihak bank atau institusi pinjaman berkenaan.
Presiden Dewan Ekonomi Melayu Sarawak (DEKOMS), Bujang Boji Sitam, menasihatkan ahli-ahli yang berhasrat memohon pinjaman kewangan supaya memastikan semua dokumen sokongan lengkap dan dikemas kini.
Beliau berkata antara keperluan penting termasuklah penyata kewangan yang lengkap, permit atau lesen perniagaan yang sah, serta bil utiliti seperti air dan elektrik yang telah dibayar.
“Untuk memudahkan anda mendapatkan pinjaman, perlulah menyediakan maklumat kewangan yang lengkap dan memastikan tiada tunggakan bil. Sekiranya bil air atau elektrik masih belum dibayar, pihak institusi kewangan pasti tidak akan mempertimbangkan permohonan pinjaman tersebut,” katanya.
Tambah beliau, kelalaian dalam mengurus bil asas boleh menjejaskan keyakinan pihak bank terhadap kemampuan pemohon untuk membayar balik pinjaman.
“Kalau bil air dan elektrik pun tidak terbayar, bagaimana pula nak membayar pinjaman?” ujarnya.
Katanya lagi, bagi memperkukuh permohonan pinjaman, pihak DEKOMS akan turut menyediakan surat sokongan bagi membuktikan bahawa pemohon benar-benar memerlukan bantuan dan merupakan ahli DEKOMS yang sah.
Sejak awal tahun ini sehingga kini, DEKOMS telah mengeluarkan lebih 20 surat sokongan kepada ahli-ahlinya yang berhasrat mendapatkan pinjaman.
Oleh Abang Zainoren Abang Jess