KUCHING, 5 Julai: Kerajaan Negeri, melalui Jawatankuasa Penyelarasan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) semalam disarankan supaya kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Kawasan hijau dibuka semua sektor ekonominya.
Presiden, Dewan Ekonomi Melayu Sarawak (DEKOMS), Bujang Boji Sitam (gambar) berkata, tiba masanya kerajaan bertindak pantas setelah mengisytiharkan satu-satu kawasan sebagai zon hijau bagi memudahkan para penjaja dan peniaga kecil meneruskan operasi pernigaan mereka di wilayah berkenaan, setelah tertekan dengan keadaan yang membuat mereka kehilangan sumber pendapatan/
Bagaimanapun, menurut beliau, kerajaan tidaklah perlu membuka sektor itu serta merta selepas pengisytiharan zon hijau.
“Mungkin aktiviti ekonomi boleh dibuka semula sekurang-kurangnya tiga hari selepas pengisytiharan itu, setelah tiada terdapat kes baharu dalam tempoh itu,” jelas beliau lagi.
Bagaimanapun beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) biasa perlu diteruskan seperti memeriksa suhu badan, penggunaan pelitup muka dan sanitasi, jelas beliau.
Beliau turut menyarankan supaya ‘dine-in’ dikedai-kedai kopi dan restoran terus dibenarkan di zon hijau dengan mematuhi SOP biasa dan hanya dibenarkan untuk empat pelanggan duduk disebuah meja serta mengurangkan jumlah meja dalam sesebuah kedai kopi atau restoran.
“Ini bagi mengelakkan kesesakan dalam sesebuah kedai kopi atau restoran sekiranya dibuka sepenuhnya,” tambah beliau.
Beliau turut mencadangkan supaya larangan untuk memasuki kawasan hijau dari mereka yang datang dari zon merah diteruskan, kecuali mendapat permit polis, untuk urusan bisnes atau urusan penting keluarga dan juga urusan kerajaan, untuk keluar meninggalkan zon merah untuk pergi ke zon hijau.
“Dengan ini sudah pasti kita dapat mengelakkan penularan wabak ini secara berterusan ke kawasan zon yang telah diisytiharkan sebagai zon hijau,” tambah beliau lagi.
Mengenai bantuan bakul makanan, DEKOMS berharap supaya agihan dapat dilakukan dengan seadil-adilnya, khususnya untuk mereka yang sangat-sangat memerlukan, terutama mereka yang telah dikuarantin selama dua minggu.
“Mengikut pemerhatian kita, terdapat beberapa ahli keluarga yang dikuarantinkan samada di rumah atau di hotel berdepan dengan masalah mendapatkan bakalan makanan selepas dikuarantin, terutama bagi mereka yang dikuarantin di hotel, sebaik sahaja sudah tamat tempoh kuarantin mereka di hotel, mereka kekeringan barang dapur setelah dua minggu rumah ditinggalkan,” katanya lagi.
Kerajaan pusat telah memberikan peruntukkan sebanyak RM300,000 bagi setiap 222 kerusi parlimen seluruh negara untuk program bantuan bakul makanan, termasuk di kerusi parlimen pembangkang, dibawah program PEMULIH yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Oleh ABANG ZAINOREN JESS