KUCHING: Seramai 1,000 peserta dari lapan buah negara setakat ini bakal memeriahkan Deka Fit Sarawak di Stadium Perpaduan pada 12 November tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Deka Fit memilih Sarawak dan ia pertama kali dianjurkan di Asia Tenggara.
“Saya percaya mereka memilih Sarawak kerana keadaan di negeri ini selamat, mempunyai reka bentuk yang unik dan penganjur ini diberi kepercayaan oleh pihak Deka Fit kerana pengalaman mereka yang luas.
“Selain itu, program ini akan memberi keuntungan dan kebaikan kepada industri perlancongan di Sarawak dari segi perhotelan, makanan tempatan dan sebagainya.
“Seterusnya, video dan gambar diambil oleh peserta luar negara semasa acara berlangsung akan membantu menyebarkan acara ke seluruh dunia.
“Kami berharap dengan mengadakan pertandingan yang julung kali diadakan di Sarawak ini, ia akan menjadi penanda aras tahap kecergasan atlet di seluruh rantau ini, menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukannya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Deka Fit Sarawak 2022 di Bangunan Baitulmakmur, hari ini.
Abdul Karim berkata antara lapan buah negara yang menyertai Deka Fit Sarawak iaitu Malaysia, Brunei, Thailand, Singapura, Australia, New Zealand, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Afrika Selatan.
Beliau berharap dapat menarik lebih ramai peserta pada minggu akan datang, terutamanya dari Asia Tenggara.
Deka Fit Sarawak dijangka menarik 1500 atlet bertanding dalam 3 kategori, Kategori Terbuka, Kategori Umur Kumpulan dan kemuncak kesemuanya, Kategori Elit di mana atlet berpeluang memenangi hadiah utama RM2,000.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan.